Categories
EXCO SELANGOR

Pelanjutan lesen sementara penjaja dibincang dalam mesyuarat negeri

PUCHONG, 5 NOV: Cadangan untuk melanjutkan tempoh pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil akan dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pihaknya akan membawa kertas cadangan dalam mesyuarat akan datang bagi mendapatkan pandangan berhubung perkara itu.

“Ada kemungkinan kita akan melanjutkan dalam satu tempoh masa lagi,” katanya ditemui selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Puchong Indah semalam.

Pada 3 Julai, Sze Han memaklumkan sebanyak 8,386 lesen sementara dikeluarkan antara Ogos tahun lalu hingga April tahun ini bagi memudahkan individu terkesan Covid-19 menjalankan perniagaan.

Inisiatif itu membolehkan penerima beroperasi secara sah hingga hujung tahun ini.

Pemberian lesen sementara kepada peniaga tidak berlesen bermula sejak Ogos tahun lalu dengan bermula daripada Majlis Bandaraya Shah Alam.

Pihak berkuasa tempatan perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu audit dalaman wakil rakyat negeri dibincang dalam MMKN

SHAH ALAM, 26 OGOS: Isu berhubung audit dalaman membabitkan wakil rakyat negeri akan dibincang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Dato’ Menteri Besar berkata perbincangan tidak melibatkan semua Ahli Dewan Negeri (ADN) sebaliknya dibuat secara rawak berdasarkan perancangan Unit Integriti.

“Unit ini juga mempunyai pelbagai jabatan dan agensi perlu diaudit yang menjadi tanggungjawab hakiki,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan tambahan ADN Hulu Klang Saari Sungib berhubung audit dalaman wakil rakyat pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata pelbagai inisiatif dilakukan negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memerangi rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Inisiatif tersebut seperti berikut:

1. Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) melibatkan ahli MMKN, ADN, jabatan dan anak syarikat Kerajaan Negeri

2. Memastikan ahli majlis MMKN menandatangani borang pengisytiharan kepentingan setiap kali mesyuarat MMKN diadakan

3. Penempatan pegawai SPRM di Unit Integriti pejabat SUK bagi tujuan pengesanan dan pengesahan aduan integriti

4. Penubuhan Unit Integriti/ Pegawai Integriti di Jabatan/ Agensi di bawah Pentadbiran SUK Selangor bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa serta pembudayaan integriti

5. Penubuhan Bahagian Audit Dalam bagi menjalankan audit pengurusan kewangan dan audit pengurusan prestasi di Pentadbiran SUK Selangor

6. Mewajibkan semua Jabatan/ Agensi di bawah Pentadbiran SUK Selangor melaksanakan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) dan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP)

7. Mewajibkan semua anak syarikat kerajaan Negeri untuk menguatkuasakan Liabiliti Korporat di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009

8. Mengadakan kursus/seminar / bengkel tatakelakuan dan salah laku rasuah

9. Mengedarkan risalah-risalah berkaitan tatakelakuan dan salah laku rasuah

10. Menyediakan saluran aduan integriti yang melibatkan penjawat awam melalui e-mel telefon, faks, surat dan secara bersemuka di Unit Integriti bagi memudahkan penyaluran aduan integriti

Categories
AGENDA NASIONAL

Penganjur program perlu mohon kebenaran sebelum guna nama ‘Selangor’

SHAH ALAM, 23 FEB: Kerajaan Negeri mengingatkan mana-mana penganjur tidak sewenang-wenang menggunakan nama ‘Selangor’ dalam program mereka.

EXCO pembangunan generasi muda dan sukan berkata sebaliknya pihak terbabit perlu memohon kebenaran bertulis dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Isu ini terpaksa diketengahkan kerana sudah ada penganjur yang menggunakan nama ‘Selangor’ dalam program mereka. Tetapi yang lebih membimbangkan apabila mereka menggunakan nama tersebut untuk mengutip duit, seolah-olah ia adalah anjuran Kerajaan Negeri.

“Jika kesalahan itu berlaku dalam mana-mana acara sukan, perkara tersebut akan dilaporkan kepada Pesuruhjaya Sukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, menerusi kenyataan beliau berkata mana-mana entiti yang menggunakan nama Kerajaan Negeri bagi penganjuran sebarang program boleh dikenakan tindakan tegas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Rombak portfolio EXCO: Budayakan inovasi, urus bencana

SHAH ALAM, 7 OKT: Portfolio ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dirombak susulan pelantikan dua EXCO baharu Borhan Aman Shah dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada 17 September lalu.

Lima portfolio baharu turut diwujudkan sejajar dengan keperluan semasa iaitu pembudayaan inovasi & Smart Selangor, pengurusan bencana, pemberdayaan pekerja, perpaduan dan industri halal.

Rombakan itu yang berkuat kuasa serta-merta pada 7 Oktober diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Besarlah harapan saya agar penstrukturan ini dapat memanfaatkan seluruh warga negeri Selangor melalui khidmat bakti terbaik ke arah merealisasikan agenda Selangor Maju Bersama,” katanya.

Amirudin memegang portfolio tambahan, pembudayaan inovasi dan Smart Selangor serta pengurusan bencana.

Dua lagi portfolio dijenamakan semula iaitu Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar yang sebelumnya dikenali Perumahan & Kehidupan Bandar dan Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam (dahulu Kesihatan).

Borhan dilantik pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan, manakala Mohd Zawawi mengetuai Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal.

Rombakan kecil portfolio turut dibuat melibatkan tiga EXCO iaitu Rodziah Ismail yang dilantik pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan.

Hee Loy Sian pula mempengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal, manakala V Ganabatirau menerajui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosioekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja.

Dr Siti Mariah Mahmud kekal dengan portfolio termasuk nama baharu kesihatan awam. Kedudukan dan nama portfolio empat EXCO lain tidak berubah.

Borhan dan Mohd Zawawi menggantikan Datuk Abdul Rashid Asari dan Haniza Mohamed Talha yang tidak lagi mewakili parti Kerajaan Negeri susulan perubahan politik nasional awal tahun ini.

Abdul Rashid sebelum ini memegang jawatan EXCO kebudayaan, pelancongan, peradaban Melayu dan warisan. Manakala Haniza memimpin portfolio perumahan dan kehidupan bandar.

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah perlu sedia alat cegah Covid-19, bukan guru

SHAH ALAM, 16 JULAI: Pihak sekolah perlu menyediakan peralatan pencegahan Covid-19 seperti cecair pembasmi kuman, pelitup muka dan alat saringan suhu badan, kata menteri kanan kluster keselamatan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penyediaan peralatan tersebut bukan berada di bawah tanggungjawab guru sebaliknya Kementerian Pendidikan telah memberi peruntukan kepada sekolah.

“Apabila kerajaan umumkan sekolah mesti sediakan pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan buat saringan suhu badan. Ia perlu disediakan sekolah bukan guru secara persendirian.

“Kementerian Pendidikan juga sudah menyalurkan peruntukan kepada semua sekolah untuk beli barangan tersebut. Oleh itu, saya harap sekolah dapat menyediakannya,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan.

Ismail berkata demikian mengulas pendedahan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam apabila terdapat guru menggunakan wang sendiri menyediakan kelengkapan perlindungan diri bagi kegunaan pelajar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Majlis akad nikah dibenarkan tidak lebih 250 tetamu

SHAH ALAM, 29 JUN: Kebenaran majlis dengan jumlah tetamu tidak lebih 250 orang pada satu-satu masa turut terpakai untuk akad nikah, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat kekeliruan berhubung perkara itu dan ada menganggap majlis pernikahan masih kekal dengan tatacara operasi piawai (SOP) lama iaitu jumlah had tetamu 20 orang.

“Pengumuman kebenaran untuk majlis perkahwinan dan bertunang sebenarnya turut terpakai untuk akad nikah dan turut terpakai di majlis jamuan perkahwinan di rumah ibadat dan persatuan agama bukan Islam,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Khamis lalu, Ismail Sabri mengumumkan kebenaran untuk semua majlis sosial seperti perkahwinan, pertunangan, akikah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari jadi bermula Rabu ini dengan had masa antara tiga hingga lima jam.

Categories
SELANGOR

Fokus pelan pembangunan Ampang, Kajang dan Semenyih

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 15 FEB: Kerajaan Negeri akan memfokuskan pelan pembangunan yang lebih inklusif di daerah Hulu Langat khususnya Ampang, Kajang dan Semenyih yang kini semakin pesat membangun.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan meneliti secara menyeluruh berkenaan rancangan itu.

“Kawasan itu semakin pesat dan rancak membangun, justeru kami akan meneliti perkara penting untuk memastikan keseimbangan dibuat.

“Ia juga bagi memastikan kemudahan atau masalah infrastruktur dapat ditangani dengan sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), di Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat, di sini.

Pada masa sama, katanya, isu berbangkit berkaitan kutipan hasil dan setempat akan turut ditangani dari masa ke masa.

Terdahulu, ahli MMKN mengadakan mesyuarat sempena program Jelajah Maju Bersama.

Jelajah Maju Bersama adalah pendekatan Amirudin yang menjadi mata dan telinga, sekali gus mencari penyelesaian tuntas terhadap permasalahan rakyat, di Selangor.

 

Categories
SELANGOR

Papan tanda Mandarin bukan keputusan MMKN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 OKT: Isu pemasangan papan tanda Bahasa Mandarin tidak pernah dibangkitkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Sebaliknya, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara itu diputuskan pada 2017 di peringkat EXCO Kerajaan Tempatan sahaja.

“Saya sudah mengarahkan Ng Sze Han, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru untuk mengkaji dasar itu supaya tidak menimbulkan polemik tidak perlu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada akhbar Berita Harian kerana membetulkan tajuk beritanya sebelum ini.

Sementara itu, Sze Han ketika dihubungi SelangorKini berkata, satu kajian berkaitan dasar membabitkan isu terbabit akan dijalankan supaya tidak menimbulkan sebarang polemik, pada masa akan datang.

“Kajian akan dibuat dengan mengambil kira semua aspek penting,” katanya.

Terdahulu, papan tanda Bahasa Mandarin di beberapa batang jalan sekitar Subang mencetuskan polemik.

Berita Harian kemudiannya tersalah tafsir kononnya Amirudin mendakwa keputusan itu dibuat pentadbiran sebelum beliau.

Categories
SELANGOR

Mesyuarat MMKN pertama Rabu ini

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 MEI: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan mengadakan mesyuarat pertama penggal baharu, pada Rabu selepas semua Exco Kerajaan Negeri mengangkat sumpah, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau juga akan memaklumkan semua portfolio Exco, bermula esok.

“Semua Exco akan mengangkat sumpah hari ini dan saya akan mengumumkan portfolio masing-masing esok.

“Hari Rabu kita akan mulakan mesyuarat MMKN pertama selepas semua ahli dilantik,” katanya ketika menyampaikan amanat di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Beliau berkata, cadangan nama Exco sudah dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan istiadat mengangkat sumpah akan disempurnakan petang ini, di Istana Alam Shah Klang.

Sehingga kini, nama 10 calon Exco masih menjadi tanda tanya semua pihak.

Pakatan Harapan (PAKATAN) kembali membentuk Kerajaan Negeri selepas melakar kejayaan cemerlang memenangi 51 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mohamed Azmin turut mengekalkan kemenangan di DUN Bukit Antarabangsa dengan majoriti lebih 25,000 undi walaupun berhadapan saingan lima penjuru.

Categories
SELANGOR

Sasar RM2.55 bilion, dapat RM2.95 bilion

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 17 NOV: Selangor berjaya mencatatkan pendapatan negeri berjumlah RM2.95 bilion, sekali gus melebihi sasaran RM2.55 bilion, tahun ini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, hasil dicatatkan setakat 15 November lalu dilihat cukup memberansangkan bagi Kerajaan Negeri.

Katanya, pencapaian itu dilaporkan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman ketika Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terbaharu.

“Kerajaan Negeri sentiasa mencatatkan hasil melebihi sasaran dan sangat berbeza dengan Kerajaan Persekutuan.

“Dalam tempoh empat hingga lima tahun kebelakangan ini, Kerajaan Persekutuan gagal mencapai sasaran dan sekadar mencatat defisit, hasil pelaburan besar dalam pengurusan dan tidak kepada pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Karnival Inisiatif Peduli Rakyat dan Sambutan Deepavali Hulu Selangor 2017, di Tapak Pasar Malam, Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Belanjawan Selangor 2018 sekali lagi mencatatkan lebih 53 peratus belanja pembangunan iaitu RM1.66 bilion dan selebihnya belanja pengurusan iaitu RM1.46 bilion.

Ia sangat berbeza dengan formula Bajet 2018 dibentangkan Perdana Menteri yang memperuntukkan RM234.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus, manakala selebihnya iaitu RM46 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kaji bangunan warisan demi manfaat rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan berbincang berkenaan fungsi bangunan warisan di Dataran Merdeka bagi menilai sejarah dan ekonominya untuk manfaat rakyat Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tapak bersejarah itu akan diputuskan sama ada dijadikan sebagai muzium pameran kesultanan Selangor, termasuk penyerahan Kuala Lumpur atau sebahagian dijadikan hotel bertaraf lima bintang.

Katanya, beberapa Exco Kerajaan Negeri juga dipertanggungjawabkan menghubungi Jabatan Warisan Negara bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan sejarah bangunan terbabit.

“Bangunan warisan ini penemuan amat berharga bagi Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor kerana ia mempunyai nilai tinggi yang selama ini tiada inisiatif mana-mana pihak memastikan aset itu diselenggara dengan baik.

“Apabila disahkan menjadi milik Kerajaan Negeri, maka kita akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya memasuki bangunan ini untuk melihat dari segi forensik dan keselamatan strukturnya.

CP2A0836-1024x683“Dari situ kita akan lihat kos anggaran untuk penambahbaikan dan pemulihan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja bersama pimpinan Kerajaan Negeri ke bangunan bekas Muzium Muzik Kuala Lumpur dan Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, bangunan itu diharapkan dapat memberi nilai sejarah besar kepada rakyat Selangor, termasuk pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya, ia bagi memupuk kefahaman bahawa Kuala Lumpur suatu ketika dahulu adalah sebahagian dari Selangor yang turut menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan ekonomi di Lembah Klang.

“Kuala Lumpur kini menjadi bandar raya maju dan makmur sumbangan besar rakyat Selangor di Lembah Klang, justeru kita harap bangunan warisan ini dapat memainkan peranan memelihara sejarah yang begitu bernilai,” katanya.

CP2A0625-1024x683 CP2A0516-1024x683 CP2A0481-1024x683 CP2A0113-1024x683

Isu pampasan RM2.6 juta, MMKN tak terlibat

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad menegaskan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak terlibat dengan keputusan bayaran pampasan RM2.6 juta kepada lapan pembantu mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.