Categories
NASIONAL

MTEM seru Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel letak jawatan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyeru Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel-hotel Malaysia (MAH) meletak jawatan kerana tidak memahami prinsip hospitaliti.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, ini kerana dalam sektor perkhidmatan hotel tiada kena mengena dengan amalan berhijab seseorang.

Katanya, tindakan diskrimkmasi itu juga dilihat sebagai percubaan menjustifikasikan diskriminasi berasaskan agama atau bangsa.

“MAH juga dilaporkan tetap mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung, bertugas di bahagian perkhidmatan pelanggan atas dakwaan ia adalah Piawaian Prosedur Operasi (SOP) antarabangsa.

“Kami menegaskan bahawa isu diskriminasi agama dan kaum dalam aktiviti ekonomi ini adalah serius dan wajar ditangani secara tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media MTEM di Ibu Pejabat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sini, hari ini.

Jelasnya, pendirian ini turut disokong 15 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) lain seperti Angkatan Belia Islam (ABIM), DPMM, Centre for Human Rights and Advocacy (CENTHRA), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan lain-lain.

Katanya, isu yang timbul ini hanyalah salah satu daripada deretan isu yang pernah berlaku sebelum ini.

Katanya lagi, kes lain yang pernah berlaku termasuklah isu diskriminasi terhadap pekerja kilang lelaki Islam yang dinafikan hak menunaikan solat Jumaat, pada 2015 dan isu guru di Sekolah Jenis Kebangsaan tidak dibenarkan bertudung, pada 2014.

Selain diskriminasi melibatkan faktor agama, kajian Dr Lee Hwok Aun dan Dr Mohamed Abdul Khalid di Jabatan Pengajian Pembangunan turut mendapati diskriminasi faktor bangsa turut berlaku dalam pekerjaan.

“Bagi setiap seorang pemohon Melayu (di sektor swasta), secara puratanya 5.3 kaum Cina dipanggil temuduga walaupun mereka mempunyai kelulusan sama.

“Dalam hal gaji, kajian dijalankan Just Faaland, Jack Parkinson and Rais Saniman, pada 2003 menunjukkan pendapatan bumiputra adalah 20-30 peratus lebih rendah dari kaum lain walaupun keduanya mempunyai pangkat dan kebolehan yang sama,” katanya lagi.