Categories
AGAMA SELANGOR

Selangor cadang tambah sekolah agama negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 NOV : Kerajaan Negeri bercadang menambah bilangan sekolah agama menengah (SAM), di seluruh negeri memandangkan wujudnya keperluan penambahan itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, hal itu kerana 23 sekolah sedia ada tidak dapat menampung pertambahan penuntut.

“Walaubagaimanapun, pembukaan sekolah agama menengah baru tidak dapat dilaksanakan (secara terus) kerana penyediaan jawatan guru SAM membabitkan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2018, di Dewan Negeri Selangor (DNS), petang ini.

Sementara itu, Ahmad Yunus berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bercadang menambah Kafa Menengah yang kini beroperasi, di sekolah rendah agama (SRA).

Beliau berkata, pertambahan semasa itu juga bakal memberi manfaat untuk meningkatkan jaringan pendidikan sekolah agama, di Selangor.

“Kalau ada gabungan dan persetujuan, pertambahan skeolah jenis ini boleh dibuat jika wujud kelulusan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri untuk memberi pelepasan bagi membolehkan SRA dibuat di peringkat menengah,” katanya.