Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MARRIS: Lagi pembangkang ‘disekolahkan’ MB

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 NOV: Dakwaan pembangkang kononnya Kerajaan Negeri tidak mengisytiharkan jumlah dana Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), dalam belanjawan baru-baru ini hanya ingin mengelirukan Dewan Negeri Selangor (DNS).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dakwaan itu jelas tidak berasas kerana dana MARRIS dimasukkan dalam tabung amanah berasingan dengan akaun hasil disatukan negeri seperti diputuskan Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Untuk makluman Yang Berhormat Batang Kali, Kerajaan Negeri tidak mengisytiharkan pemberian MARRIS daripada Kerajaan Persekutuan seperti didakwa itu tidak berasas kerana terimaan MARRIS sebelum 2013 diperakaunkan ke dalam akaun hasil disatukan negeri.

“Bagaimanapun, keputusan mesyuarat Majlis Kewangan Negara, pada 2 Ogos 2012 memutuskan semua Kerajaan Negeri menubuhkan tabung wang penyelenggaraan negeri di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957.

“Terimaan MARRIS selepas 2012 disalurkan terus ke dalam akaun amanah dan ia tidak menjadi sebahagian Rang Undang-undang Perbekalan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Selangor 2018, di DNS di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Penyata Kewangan Selangor yang diaudit Jabatan Audit Negara menunjukkan baki akaun amanah MARRIS, pada 31 Disember 2015 dan 31 Disember 2016 masing-masing berjumlah RM526.9 juta dan RM370.6 juta.

Katanya, Penyata Kewangan Selangor turut diberikan Sijil Bersih oleh Ketua Audit Negara, pada 26 Mei lalu.