Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Selangor Fruit Valley raih anugerah emas

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 NOV: Selangor Fruit Valley memenangi anugerah Gold Award Agro Tourism Experience pada Majlis Makan Malam Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia 2017 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 20 November lalu.

Menurut kenyataan media, majlis itu adalah julung kali diadakan dan 39 penerima anugerah dirai untuk memberi penghormatan kepada sumbangan cemerlang mereka dalam kejayaan industri pelancongan di Malaysia.

Anugerah berprestij itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, penghargaan perlu diberikan terhadap pencapaian tertinggi itu dan ia untuk memberi motivasi disamping inisiatif kepada mereka untuk terus berjaya.

“Pencapaian tertinggi diterima mereka adalah sebagai inisiatif galakan kepada penerima meningkatkan lagi aspek servis berkualiti.

“Adalah dengan harapan pengiktirafan anugerah ini, kualiti perkhidmatan industri pelancongan serta pencapaian yang tinggi dalam jenama pelancongan akan terus meningkat dan memimpin ekonomi masa depan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, pada malam anugerah itu Selangor turut memenangi anugerah lain iaitu Gold Award Agro-Eco Tourism (Taman Botani Negara Shah Alam) dan Gold Award Largest Agro Tourism Park (Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS)).

=EZY=