Categories
SELANGOR

Selangor konsisten, sokongan rakyat menyerlah

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 10 NOV: Tahap kepuasan dan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Negeri konsisten antara 50 ke 70 peratus, membabitkan pelbagai lapisan masyarakat.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS & Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, peratusan itu berdasarkan tinjauan organisasi media Sinar Harian, badan pemikir berkaitan Kerajaan Negeri dan bebas sejak tahun lalu.

Katanya, ia membabitkan responden lelaki dan perempuan dari kawasan bandar, separuh bandar dan luar bandar meliputi semua kaum juga kelas pendapatan, di semua Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kebanyakan rakyat terutama pengundi teruja kepimpinan Selangor mengekalkan kestabilan dan kerjasama melaksanakan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang membantu mengangkat martabat dan meringankan beban mereka ekoran dasar Putrajaya yang menindas.

“Ia merangkumi keberkesanan IPR yang berimpak tinggi serta membela penjawat awam yang turut melonjak sokongan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mencari jalan terbaik memberi perkhidmatan kepada anak Selangor, di samping tuntas memberdaya golongan memerlukan perhatian khasnya berpendapatan rendah, sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka.

Katanya, Kerajaan Negeri turut sedar politik kaum memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi dan kestabilan negeri, justeru pimpinan Selangor komited mempertahankan kedaulatan istana, kedudukan istimewa Melayu serta kepentingan sah kaum lain selain menjunjung agama Islam juga kebebasan penganut agama lain beibadah.

“Ini semua pendekatan Kerajaan Negeri menguruskan Selangor supaya negeri ini menjadi model masa depan Malaysia apabila berlaku perubahan kepimpinan di Putrajaya kelak,” katanya.