Categories
SELANGOR

Selangor pertama semua PBT laksana pelan rendah karbon

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 NOV: Selangor muncul negeri pertama melaksanakan Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon (LCCF) secara menyeluruh di kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, pelaksanaan LCCF itu mengikut garis panduan dikeluarkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

“Majlis Perbandaran Subang Jaya berjaya mengurangkan pelepasan karbon 15 peratus, sejak 2015 sementara
Majlis Bandaraya Shah Alam membuat perancangan mensasarkan pengurangan 45 peratus menjelang 2030,” katanya pada sidang media, di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut mensasarkan pengurangan 30 peratus menjelang 2030, Majlis Perbandaran Klang (5% menjelang 2017), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (30% menjelang 2030) dan Majlis Perbandaran Sepang (32% menjelang 2025).

Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri juga meluluskan dasar atau pelan tindakan teknologi hijau untuk Selangor, sejak 2016.

“Pada 2017, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM2 juta dan RM2 juta juga lagi, pada 2018 untuk disalurkan kepada PBT dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai perancangan tambahan menjadikan kawasan mereka sebagai LCCF,” katanya.