Categories
SELANGOR

Selangor, Pulau Pinang hargai usaha anggota misi kemanusiaan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEBERANG PRAI, 12 NOV: Kerja keras kira-kira 585 anggota Misi Kemanusiaan Selangor Prihatin bagi membantu mangsa bencana banjir di Pulau Pinang sejak seminggu lalu mendapat pujian Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, beliau dan Ketua Menteri Pulau Pinang mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua anggota misi terlibat.

“Saya telah arahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bukan sahaja bawa pegawai dan angota tetapi juga semua aset kita seperti lori, kompaktor dan semua peralatan lain dan sekarang di Pulau Pinang ada kira-kira 385 pegawai serta anggota misi Kemanusiaan Selangor Prihatin yang sudah berkampung seminggu lalu hingga hari ini belum balik lagi.

“Tadi saya bersama Ketua Menteri bertemu semua pegawai dan anggota mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bekerja kuat membantu mangsa banjir di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Minum Petang dan Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir di Kampung Permatang Tok Subuh di sini, petang semalam.

Jelasnya, 385 anggota terlibat terdiri daripada 185 anggota Skuad Pantas Pihak Berkuasa Tempatan dan 200 anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Misi Kemanusiaan Selangor (PANTAS).

Misi itu turut melibatkan 50 buah pelbagai jentera antaranya sebuah jengkaut, 19 lori yang terdiri daripada kompaktor, lori tangki air dan lori pengangkut sampah pukal, 22 buah kenderaan 4×4 dan lain-lain.

Pasukan terbabit juga membawa kira-kira 30 buah mesin seperti pam air dan mesin gergaji automatik bagi melancarkan kerja pembersihan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Universiti Selangor) UNISEL, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, kekuatan pasukan misi terbabit diperkuatkan lagi dengan kehadiran hampir 200 sukarelawan Universiti Selangor (UNISEL) yang ditempatkan di beberapa lokasi lain sekitar Pulau Pinang dan sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 585 petugas dari Selangor.

“Mereka menaiki dua buah bas dari kampus kami di Shah Alam dan dua bas lagi Kampus Bestari Jaya,” katanya kepada SelangorKini.

=EZY=