Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: ‘Rugi’ langgan akhbar tiada orang nak baca

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 NOV : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata Kerajaan Negeri mahu media menggunakan demokrasi sedia ada untuk menyampaikan maklumat tepat dan adil bukan melakukan fitnah atau tohmahan.

Beliau berkata, tidak ada keperluan untuk Kerajaan Negeri melanggan akhbar yang ‘tidak mendapat sambutan pembaca’.

“Buat apa nak beli akhbar yang tiada orang nak baca.

“Saya kira kita kena terima kenyataan orang Melayu pun sudah tidak membaca Utusan Malaysia.

“Kita tengok sambutan sekarang ini terhadap akhbar Sinar Harian jauh lebih baik sambutan daripada Utusan Malaysia, jadi kenapa kita harus membazir membeli dan melanggan surat khabar yang tidak dibaca”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pekeliling pemberhentian langganan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian pada Majlis Pecah Tanah Masjid Kota Kemuning, Shah Alam.

Sebelum ini, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengarahkan semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri menghentikan langganan akhbar di bawah Utusan Malaysia berkuatkuasa serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan melalui pekeliling bertarikh 9 November dan ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Pekeliling berkenaan turut mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri agar memberi tumpuan kepada melanggan akhbar syarikat Kerajaan Negeri seperti SelangorKini, Sinar Harian dan The Star sahaja.

=EZY=