Categories
SELANGOR

Sikap pemurah faktor lambakan pengemis

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Sikap pemurah masyarakat merupakan antara faktor menyebabkan bilangan pengemis, di negara ini semakin meningkat.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga,  Dr Daroyah Alwi berkata, isu itu hanya berjaya diselesaikan jika masyarakat berhenti memberi wang kepada mereka.

“Ada antara mereka menggunakan Orang Kelainan Upaya (OKU), wanita dan kanak-kanak termasuk bayi untuk meraih simpati orang ramai.

“Perkara ini perlu dihentikan dengan memberi kesedaran kepada orang ramai menerusi program seperti ini, iaitu jika tiada memberi, secara beransur akan berkurangan dan tiada lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Kempen Pencegahan Pengemisan: Bijak Membantu, Elak Tertipu, di Laman Seni Seksyen 7, di sini, hari ini.

Dr Daroyah berkata, tindakan menderma kepada pengemis turut menjadikan Malaysia sebagai destinasi sasaran pengemis negara asing.

Katanya, orang ramai yang ingin menderma boleh menyalurkan secara terus kepada organisasi sah dan berdaftar.

Terdahulu, beliau melepaskan kumpulan sukarelawan yang akan mengedarkan risalah kesedaran kepada orang ramai berkenaan isu itu, di sekitar Shah Alam.