Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

#Selangor18: IKTISASS diperkenalkan untuk jayakan TVET

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat meningkatkan peruntukan sektor pendidikan tinggi kepada RM101.73 juta bagi tahun 2018 berbanding RM28.5 juta, tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri akan melaksanakan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Samrt Selangor (IKTISASS) sebagai usaha menjayakan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), menerusi peruntukan itu.

“RM52 juta yang mewakili 51.1 peratus daripada peruntukan untuk pendidikan tinggi disalurkan untuk program IKTISASS.

“Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada ‘millennials’ menggarap latihan kemahiran bagi menjamin kebolehpasaran dengan pendapatan yang tinggi dan meningkatkan rantaian nilai modal insan,” katanya

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan membiayai sepenuhnya 2,000 anak muda Selangor sebagai perintis program IKTISASS sebagai langkah awal, pada tahun 2018.

Program itu akan dilaksanakan dengan kepakaran Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC), Strand Aerospace Malaysia dan SST & Consultancy Academy.

Katanya, jurang antara keluaran institusi pendidikan dengan keperluan sumber manusia negeri dan industri perlu dipandang serius kerana ia menyumbang kepada peningkatan pengangguran dalam kalangan anak muda iaitu tiga kali ganda berbanding kadar purata pengangguran nasional.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan RM181.98 juta bagi memperkukuh intitusi pendidikan, pada tahun 2018.