Categories
SELANGOR

#Selangor18: RM30 juta untuk teruskan perkhidmatan Bas Smart Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30 juta lagi bagi meneruskan inisiatif perkhidmatan Bas Smart Selangor bagi tahun 2018 ekoran sambutan yang menggalakkan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkhidmatan Bas Smart Selangor turut ditingkatkan jumlah laluan khususnya di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana serta kawasan awam seperti sekolah, pasar, hospital, pusat pengajian tinggi juga kawasan industri.

“Sehingga 30 September lalu, Kerajaan Negeri sudah membiayai kos pelaksanaan RM43 juta untuk menyediakan 100 unit Bas Smart Selangor yang sedang beroperasi di 30 laluan meliputi semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan memberi manfaat kepada 22.1 juta ‘ridership’ dalam tempoh 3 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan dana sejumlah RM18.6 juta untuk menyediakan 22 bas termasuk Bas Elektrik membabitkan empat laluan.

Mohamed Azmin berkata, usaha Kerajaan Negeri itu mendapat pengiktirafan The Malaysia Book Of Records sebagai ‘Most Number of Free Shuttle Bus Services Provided By State Government’ pada 24 September lalu.