Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

RM2 juta baik pulih dan naik taraf maahad tahfiz persendirian

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM2 juta diperuntuk Kerajaan Negeri untuk membaik pulih dan menaiktaraf maahad tahfiz persendirian di Selangor, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia melibatkan 262 maahad tahfiz persendirian berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang menempatkan 17,440 murid, setakat Oktober lalu.

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada maahad tahfiz yang berisiko tinggi dari segi aspek keselamatan.

“Semenjak dua tahun lalu, menyedari kepentingan keselamatan pelajar dan guru, Kerajaan Negeri sudahpun memperuntukkan sejumlah RM3.6 juta untuk membaik pulih 44 maahad tahfiz persendirian,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, sebanyak 127 maahad tahfiz persendirian yang menempatkan 2,862 pelajar dan masih belum berdaftar dengan JAIS perlu segera berbuat demikian, sebelum 15 Disember ini.

Katanya, kegagalan menepati dan memenuhi syarat penubuhan dan pendaftaran ditetapkan akan menghadapi risiko notis henti operasi.

“Kerajaan Negeri perlu menjamin nilai moral, kerohanian dan etika disemai dalam proses pendidikan.

“Saya mesti menegaskan bahawa pendidikan perlu melahirkan rakyat berintegriti moral dan intelektual, beradab dan berbudaya, inklusif serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan masyarakat,” katanya.

=EZY=