Categories
SELANGOR

#Selangor18: RM48 juta untuk infrastruktur desa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri tuntas dalam memperkasa pembangunan ekonomi nelayan, petani dan penternak, membasmi kemiskinan luar bandar, membangunkan ekonomi kampung tradisi serta menyediakan infrastruktur yang terbaik untuk masyarakat desa.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 48.95 juta bagi tahun 2018 bagi merealisasikan hasrat itu.

“Dalam tahun 2017, sebanyak 402 projek luar bandar dilaksanakan dengan menelan belanja RM22.5 juta untuk membaik pulih jalan dan menaik taraf balai raya,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri melaksanakan program pencerapan jalan kampung sejauh 2,874 kilometer bagi tujuan menaik taraf melalui peruntukan MARRIS.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri juga sedia maklum bahawa masih ada jalan kampung yang memerlukan kerja menaik taraf.

“Maka, sejumlah RM 20 juta disediakan untuk menaik taraf kemudahan awam desa seperti balai raya, dewan orang ramai, jambatan kampung, sistem perparitan dan menaik taraf jalan kampung, bagi tahun 2018.

“Pegawai daerah digesa untuk memberi perhatian kepada kerja menaik taraf jalan ladang dan jalan kebun,” katanya.