Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sasar 5 daerah Kampungku Kesayanganku sehingga Jun

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 MAC: Program Kampungku Kesayanganku (3K) diteruskan lagi dengan mensasarkan lima daerah lagi dipilih sebagai tuan rumah bagi enam bulan pertama tahun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk membiayai setiap program terbabit.

“Program 3K masih diteruskan lagi tahun ini di mana sehingga kini sudah dua daerah iaitu Sabak Bernam dan Kuala Langat dan selepas ini Hulu Langat pula.

“Kami menjangkakan lima daerah akan terlibat bagi enam bulan pertama untuk tahun ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Katanya, selain meneruskan kesinambungan agenda lalu, pada tahun ini program 3K membawa tema ‘Melentur Rebung Melanial” dengan memberi tumpuan kepada pembangunan generasi muda supaya golongan terbabit berminat untuk mendekati institusi masjid dan pemerkasaan institusi tahfiz.

Katanya, program kali ini juga menekankan Kempen ‘Desaku Bebas Sampah Jalanan’ bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kebersihan.

“Pemerkasaan pembangunan hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekitar turut ditekankan di samping kempen desaku bebas sampah jalanan’ di semua daerah,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

#Selangor18: RM48 juta untuk infrastruktur desa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri tuntas dalam memperkasa pembangunan ekonomi nelayan, petani dan penternak, membasmi kemiskinan luar bandar, membangunkan ekonomi kampung tradisi serta menyediakan infrastruktur yang terbaik untuk masyarakat desa.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 48.95 juta bagi tahun 2018 bagi merealisasikan hasrat itu.

“Dalam tahun 2017, sebanyak 402 projek luar bandar dilaksanakan dengan menelan belanja RM22.5 juta untuk membaik pulih jalan dan menaik taraf balai raya,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri melaksanakan program pencerapan jalan kampung sejauh 2,874 kilometer bagi tujuan menaik taraf melalui peruntukan MARRIS.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri juga sedia maklum bahawa masih ada jalan kampung yang memerlukan kerja menaik taraf.

“Maka, sejumlah RM 20 juta disediakan untuk menaik taraf kemudahan awam desa seperti balai raya, dewan orang ramai, jambatan kampung, sistem perparitan dan menaik taraf jalan kampung, bagi tahun 2018.

“Pegawai daerah digesa untuk memberi perhatian kepada kerja menaik taraf jalan ladang dan jalan kebun,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB: Mutu kehidupan desa diangkat setara kemodenan

OLEH: LIZAWATI MADFA

AMPANG JAYA, 22 MEI: Kerajaan Negeri komited mengangkat mutu kehidupan desa setara kehidupan moden namun masih kekal dengan jati diri dan watak kedesaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia antara lain mampu menjadi daya tarikan pelancong luar berkunjung, seterusnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi setempat.

mb-markshort kemensah“Seperti Kampung Kemensah ini walaupun terletak di pinggir bandar, ia masih kekal dengan watak dan ciri kedesaannya ditambah dengan keharmonian penduduk.

“Perkara ini menjadi daya tarikan untuk aktiviti pelancongan terus berkembang termasuk aktiviti ATV, memancing, riadah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui sejurus melepaskan lebih 600 peserta larian King of Kemensah Trail 2016 di Kampung Kemensah di sini, pagi ini.

Ia dianjurkan JKKK Kampung Kemensah sempena sambutan Jubli Emas kampung itu dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan PACat Adventure Team (PACAT).

kemensah 2Sebelum ini, Mohamed Azmin ketika Pelancaran Bas Smart Selangor di Sungai Besar berkata pembangunan di Selangor bukan bersifat ‘urban centric’ semata-mata.

“Tetapi kita memakmurkan desa dengan kemudahan penting seperti pendidikan, kesihatan, komunikasi, pengangkutan dan lain-lain untuk menjamin kehidupan sejahtera dan maju.

“Masyarakat desa juga mempunyai hak untuk menikmati kekayaan negeri menerusi pembangunan yang mampu memberdaya mereka,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Peruntukan RM793,000 perkukuh ekonomi desa dan kampung tradisi

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 29 OKT : Tiga program keusahawanan dengan peruntukan RM793,300 dilaksanakan Kerajaan Selangor khusus untuk memberdayakan ekonomi warga desa dan kampung tradisi.

Exco Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program itu adalah selaras dengan hasrat Selangor untuk meningkatkan taraf sosial rakyat demi kesejahteraan negeri.

produk-1Katanya program itu mensasarkan tiga golongan utama iaitu belia desa, ibu tunggal dan suri rumah serta peniaga secara kecil-kecilan.

“Program ini dibuat bersama-sama dengan INPENS International College di Kuala Selangor dan Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) di Kuala Kubu Bharu.

“Ia bagi memberi peluang kepada komuniti desa yang berminat memulakan perniagaan tetapi tidak mempunyai modal serta kepada bakal usahawan yang beriltizam menjadikan perniagaan sebagai kerjaya sepenuh masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Aku Janji sempena Program Industri Komuniti Kampung 2015 di Muzium Sultan Alam Shah, dekat sini hari ini.

Pada masa sama, Yunus berkata, program itu berupaya mencipta identiti sesebuah daerah melalui produk perkhidmatan yang mempunyai nilai ekonomi untuk berdaya saing di peringkat nasional.

Katanya, ia juga mampu memperkukuh masyarakat setempat dengan aktiviti sosio ekonomi yang lebih berdaya maju.

“Antara program ditawarkan adalah usahawan kemahiran, makanan dan minuman secara kios atau penjajaan serta Juruterapi Komplimentari Berdaftar, bidan kampung Stimulatheraphy dan terapi kesihatan lelaki,” katanya.

Dalam majlis itu, lebih 100 peserta layak menyertai program terbabit untuk menjalani kursus kemahiran jangka pendek dan jangka panjang termasuk ‘Satu Daerah Satu Inkubator’ yang menyediakan premis dan modal untuk permulaan perniagaan.

EZY

Categories
SELANGOR

Rakyat bangga, Kerajaan Negeri tak abai desa dan pendidikan

Oleh: ANNA FARINA dan SHAF GAFIE

SHAH ALAM, 26 NOV: Rakyat di negeri ini menyambut baik pembentangan Belanjawan Selangor 2015 apabila turut memberikan tumpuan kepada desa dan pendidikan yang disifatkan bertepatan.

Namun, ,ereka juga berpandangan penggunaan wang secara cermat harus terus diutamakan Kerajaan Negeri.

10352148_818857948178553_7046295858563244909_nBagi Nurul Hazwani, 24, pembangunan di desa memerlukan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, prasarana dan masyarakat tanpa melunturkan suasana desa yang permai.

“Kawasan luar bandar memang harus diberi perhatian. Saya tengok belanjawan kali ini banyak diperuntukkan untuk membangunkan luar bandar dan hal ini baik daripada aspek kemudahan, keselesaan, membaik pulih, bahkan masyarakat desa sendiri.

“Apa yang saya boleh katakan, semoga bajet yang diberikan dapat digunakan dengan baik. Kita mahu tengok kawasan desa di Selangor ini ada perubahan tetapi mengekalkan suasana yang permai,” katanya.

DSC_3413Sementara itu, Aziz Ahmad, 50, berkata peruntukan pendidikan khususnya agama perlu diberi perhatian yang lebih banyak lagi waalupun apa yang dibentangkan dalam Belanjawan Selangor 2015 turut memasukkan bantuan serta peruntukan untuk sekolah tahfiz dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

“Untuk belanjawan kali ini baik.  Tapi pandangan peribadi saya, speruntukan pendidikan perlu lebih banyak lagi sebenarnya kalau di Selangor ini.

“Kerajaan Negeri perlu lihat sekolah agama di seluruh Selangor ini. Berapa banyak sekolah agama yang perlu diberi perhatian dari segi kemudahan, keperluan dan pelbagai lagi,” katanya.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Amirul Hafiz, pula mengalu-alukan sokongan Kerajaan Negeri kepada kebajikan mahasiswa dan berharap negeri lain mencontohi jejak pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

“Saya tidak berapa mengikuti Belanjawan Selangor kali ini. Yang saya tahu, peruntukan untuk Hadiah Anak Masuk Universiti harus dipuji. Peruntukan bernilai RM1000 itu sangat membantu pelajar sebenarnya.

“Jika hanya mengharapkan pinjaman, ia hanya lepas untuk bayar yuran universiti. Untung anak Selangor dan saya harap negeri lain dapat beri amaun sebegitu juga,” katanya.

-NFN-