Categories
SELANGOR

RM3 juta Skim Insurans Pesawah, bantu golongan tani negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV : Kerajaan Negeri turut memfokuskan tanggungjawab berkebajikan untuk membantu pesawah seluruh negeri, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri bercadang memperkenalkan Skim Insuran Pesawah secara percuma melibatkan 10,000 pesawah seluruh negeri.

“Pesawah dihimpit dengan tekanan import padi dari negara asing. Hasil padi tidak menentu, terkadang kala diganggu cuaca atau penyakit.

“Namun, pesawah padi tetap membanting tulang, membasahi tubuh dengan keringat menyumbang kepada jaminan keselamatan makanan negara.

“Itulah perjuangan hidup seorang pesawah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2018 di Dewan Negeri Selangor.

Mohamed Azmin berkata, melalui skim berkenaan, pesawah akan menerima beberapa manfaat yang dilihat bakal memberi manfaat jangka panjang kepada penggiat industri itu.

“Melalui skim ini, wira sawah akan menerima manfaat perubatan, perlindungan akibat hilang upaya kekal atau menyeluruh dan juga infaq kematian.

“Sebanyak RM3 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini bagi melindungi pesawah,” katanya.

Untuk rekod, inisiatif berkenaan diperkenalkan kali pertama tahun ini di peringkat negeri dan Persekutuan.

=EZY=