Categories
SELANGOR

#Selangor18: RM7 juta perkasa hal ehwal selain Islam

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM6 juta disediakan Kerajaan Negeri bagi memperkasa persatuan agama dan kaum selain Islam di Selangor, bagi tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan khas kepada komuniti Sikh juga ditingkatkan dari RM500,000 kepada RM1 juta, bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan menambah baik infrastruktur gurdwara.

“Kepelbagaian agama dan kaum adalah aset terpenting Selangor.

“Sehingga Oktober lalu, 518 persatuan menerima sumbangan RM5.1 juta bagi aktiviti keagamaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga bersetuju menyalurkan dana bantuan kemanusiaan RM1.5 juta menerusi Global Peace Mission Malaysia (GPM) dan Malaysian Life Line For Syria (MLLFS) yang diterajui WADAH-ABIM-PKPIM.

“Kezaliman rejim zionis di Palestin, pembunuhan umat Rohingya di Myanmar dan semua bentuk kekejaman serta penindasan terhadap minoriti umat Islam perlu mendapat respon tegas dengan tindakan substantif.

“Kerajaan Negeri mengalukan pendirian tegas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengklasifikasikan jenayah pembunuhan umat Islam Rohingya sebagai genocide,” katanya.