Categories
SELANGOR

#Selangor18: Skim Kesihatan Bersepadu perluas skop kesihatan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri rancak melaksanakan Skim Peduli Sihat sebagai satu skim perlindungan rawatan kesihatan asas yang mendapat pengiktirafan Persatuan Perubatan Malaysia.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, satu skim penjagaan kesihatan yang bersepadu (integrated healthcare scheme) dicadangkan untuk memperluaskan skop perkhidmatan kesihatan berdasarkan keperluan mendesak untuk mendapat akses kepada penjagaan kesihatan.

“Antara penjagaan kesihatan dicadangkan adalah penjagaan kesihatan asas Peduli Sihat, rawatan jantung, suntikan vaksin pneumokokal, penjagaan kesihatan mental, perkhidmatan penjagaan paliatif bagi pesakit kanser serta insuran kesihatan untuk penjawat awam dan pesawah.

“Ia bermaksud, Kerajaan Negeri bercadang sejumlah RM 44.1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Skim Kesihatan Bersepadu.

Mohamed Azmin berkata, sebanyak 149,382 kad Peduli Sihat dikeluarkan untuk memberi manfaat kepada hampir 600,000 orang, sehingga 31 Oktober lalu.

“Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri bertekad meneruskan pelaksanaan Skim Peduli Sihat dengan peruntukan RM20 juta dan pemegang kad adalah layak secara automatik mendapat perkhidmatan rawatan kesihatan asas secara percuma,” katanya.

“Sebagai tanda keprihatinan kesihatan rakyat, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan one-off RM180 kepada semua pemegang Kad Peduli Sihat untuk mendapatkan suntikan vaksin pneumokokal yang didapati di semua klinik yang mengambil bahagian, bahkan ia tidak akan ditolak daripada kelayakan Peduli Sihat.

“Ini bermakna kelayakan bagi pemegang Kad Peduli Sihat dinaikkan dari RM500 kepada RM700, bagi tahun 2018,” katanya.