Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

#Selangor18: Salur RM7.8 juta, Selangor iktiraf peranan wanita

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV: Peranan wanita seluruh negeri terus diiktiraf menerusi komitmen golongan itu dalam membantu Kerajaan Negeri memajukan Selangor sebagai sebuah negeri maju.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri akan terus membantu merealisasikan potensi wanita bagi menyumbang kepada pembangunan negeri dan sosioekonomi.

“Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri akan terus membantu bagi merealisasikan potensi wanita menyumbang kepada pembangunan negeri dan sosio ekonomi.

“Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri ingin mencadangkan RM7.8 juta untuk Institut Wanita Berdaya (IWB), Pusat Wanita Berdaya (PWB), program pembangunan institusi keluarga dan Skim Kesihatan Wanita, ” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Institut Wanita Berdaya dan Pusat Wanita Berdaya berjaya menggubal Dasar Wanita Selangor yang bersifat inovatif.

“Ia dilaksanakan demi memberdaya penyertaan wanita dalam ekonomi sebagai tenaga kerja mahir, usahawan dan pakar teknologi serta melahirkan wanita Selangor yang berdaya untuk membangun sebuah masyarakat yang maju dan progresif.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan sokongan kepada IWB dengan peruntukan tambahan sebanyak RM3 juta, bagi tahun 2018. Kerajaan Negeri mengakui kejayaan PWB menyuntik dinamisme dalam masyarakat melalui program pemberdayaan ekonomi dan program bersifat advokasi,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, peruntukan untuk setiap PWB ditingkatkan daripada RM30,000 setahun kepada RM50,000.

“Ini menjadikan peruntukan PWB bagi tahun 2018 meningkat kepada RM2.8 juta,” katanya.