Categories
AGAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Lebih RM100 juta membangun rohani

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM106 juta disediakan Kerajaan Negeri untuk tujuan pembangunan institusi kerohanian, bagi 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara projek yang akan diberikan keutamaan adalah pembinaan Masjid Subang Bestari bernilai RM17 juta dan Masjid Al-Ikhlas, Taman Bukit Belimbing, Hulu Langat RM16 juta.

Katanya, projek lain termasuk pembinaan Masjid Bandar Teknologi Kajang dengan peruntukan RM12 juta dan Masjid Kota Damansara 2, Seksyen 9 (RM12 juta).

“Jabatan Agama Islam Selangor juga akan terus berperanan untuk
memberdaya institusi Islam melalui pembangunan dan program yang dapat melahirkan umat beriman dan berilmu,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, sebanyak enam projek siap dibina pada 2017 dengan nilai keseluruhan RM34.01 juta.

Katanya, sebanyak 14 projek ditender pada tahun ini dengan nilai siling RM200.8 juta melibatkan pembangunan lapan masjid, empat Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) dan dua Sekolah Rendah
Agama (SRA).

“Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan RM34 juta untuk pembinaan blok asrama baru dan bangunan akademik MITS Istana Bandar, Jugra, Kuala Langat.

“Dua minggu lalu, saya turut meluluskan peruntukan segera RM250,000 untuk kerja membaik pulih dan menaik taraf pendawaian elektrik di MITS Istana Bandar.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan kerja menaik taraf asrama dan blok akademik MITS Bagan Terap dengan kos projek sebanyak RM6 juta,” katanya.

=EZY=