Categories
SELANGOR

#Selangor18: SITEC terima peruntukan RM6 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Selangor Information Technology and E-Commerce Council (SITEC) menerima peruntukan RM6 juta bagi memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi maklumat dan pembangunan e-dagang, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, program yang menggunakan ‘model Epicentre Google for Entrepreneurs’ di Stockholm dan program accelerator untuk membangunkan komuniti ‘start-up’ akan dilaksanakan.

Katanya, ia bertujuan memperkasa komuniti perniagaan kecil dan sederhana (SME), di Selangor.

“Selaras dengan trend global yang beralih kepada Fourth Industrial Revolution (IR4.0), beberapa bidang industri berteknologi tinggi dan berimpak tinggi dikenal pasti berpotensi untuk berkembang seperti e-commerce, bioteknologi, aeroangkasa dan industri halal,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM2 juta untuk pembangunan ‘blueprint’ aeroangkasa dalam usaha mengangkat Selangor sebagai pemain utama dalam sektor itu.

Katanya, Selangor berjaya menarik perhatian General Electric International melalui GE Engine Services Malaysia yang terlibat dalam bidang Maintenance, Repair and Overhaul (MRO).

“Ia bertujuan memperluaskan pelaburan baru bernilai RM200 juta dalam meningkatkan keupayaan kemudahan untuk menyelenggara ‘leap engine’ di Subang.

“Baker Hughes (BHGE), syarikat dimiliki General Electric International bakal membina kemudahan MRO bagi penyelenggaraan ‘oil and gas turbine’ bernilai RM200 juta di Klang.

“Pusat ini menyediakan perkhidmatan kepada pasaran Asia Pasifik,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menyediakan dana awal berjumlah RM10 juta bagi membiayai penyelidikan dan pembangunan (R&D) bioteknologi sebagai insentif menjalankan penyelidikan di Selangor.