Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Usahawan snek penambah tenaga sertai Sitec, e-dagang gandakan untung

SHAH ALAM, 20 FEB: Pandemik sejak Mac tahun lalu memberi kesan besar terhadap perniagaan Wan Shazerina Izlin Wan Mohd Zahid, usahawan snek penambah tenaga.

Jualan kasar yang diperoleh RM10,000 sebulan merosot mendadak kepada RM2,000 pada bulan pertama Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa mulai 18 Mac.

Tanpa penganjuran acara sukan yang sebelum ini tumbuh bagai cendawan, jualan snek jenama Marathon Baker Homemade Energy Bar (Marathon Baker) keluaran syarikatnya terjejas teruk.

Bermacam-macam strategi pemasaran dijalankan termasuk mempromosi snek itu kepada petugas barisan hadapan Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultanah Aminah Johor tetapi kurangnya pelanggan bertandang ke kedai menyebabkan keuntungannya hanya “cukup makan”.

Namun, sejak menyertai kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega anjuran Majlis Teknologi Maklumat dan e-Dagang Selangor (Sitec), jualan produknya meningkat 50 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Kini, PKP dilaksanakan semula. Namun, Wan Shazerina Izlin yang turut dinobat sebagai Penjual Unggul dalam e-bazar itu lebih bersedia dan tidak lagi segusar dahulu.

Mula berniaga

Wan Shazerina Izlin memulakan perniagaan bersama rakan kongsinya Zarina Abdul Rahman pada 2016.

Bermodal RM5,000 bagi membeli pengadun dan ketuhar, snek itu asalnya dihasilkan Zarina untuk kegunaan sendiri pada 2014. Snek itu menggunakan kurma sebagai sumber tenaga utama dan ditambah bahan lain seperti oat dan kacang bagi mengekalkan tenaga dan membaiki tisu badan ketika beriadah.

Produk Marathon Baker popular dalam kalangan penggiat sukan khususnya kegiatan jarak jauh. Jualan meningkat setiap tahun.

Mereka kerap membuka gerai pada acara larian antaranya Malaysia Women Marathon, Selangor Marathon dan UiTM Ultra. Namun, pelaksanaan PKP menjejaskan perkembangan perniagaan sebelum mereka menyertai program Sitec pada November 2020.

“Saya mula mengetahui tentang Sitec ketika menghadiri kempen PJ Startup Festival beberapa tahun lepas dan terus mendaftar menjadi usahawan apabila mendapati banyak kelas bermanfaat dikendalikan mereka, bahkan tenaga pengajar jemputan juga bukan calang-calang orangnya,” kata Shaz.

Lebih membanggakan, Sitec menyenaraikan beliau sebagai Penjual Unggul bagi kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega tahun lalu.

“Tersenarai sebagai Penjual Unggul suatu yang tidak diduga kerana banyak lagi perancangan belum terlaksana.

“Kami lihat peningkatan jualan 50 peratus dari bulan sebelum itu. Kami bangga kerana kempen itu memberi hasil memuaskan walaupun acara larian dihentikan ketika ini,” katanya.

Jualan meluas melalui Lazada, platform yang menjayakan kempen tersebut, jualan produk turut melangkaui golongan pelanggan, tidak lagi terhad kepada penggiat sukan semata-mata

Shaz juga menggalakkan peniaga mendaftar sebagai usahawan Sitec kerana banyak program membantu usahawan berdaya saing melalui pengupayaan digital.

Beliau menyifatkan kaedah e-dagang membantu meningkatkan pulangan asalkan usahawan bijak mengiklan produk secara berkesan dengan memfokus sasaran pelanggan yang tepat.

“Banyak inisiatif disediakan untuk membantu usahawan daripada segi kewangan atau pengetahuan. Kini juga ada Rantaian e-Bekalan Digital Selangor, platform untuk peniaga memasarkan produk selain Jelajah Usahawan Digital Selangor,” katanya.

Sembilan perisa

Kini, Marathon Baker ada sembilan perisa untuk pilihan cita rasa pelanggan. Ada perisa coklat, kopi, kacang dan buah-buahan, bahkan untuk mereka yang alah laktosa (lactose intolerant) dan tiada kacang bagi penghidap gout.

“Produk popular kami ialah Gummy Ultra Sports Pastilles yang dihasilkan menggunakan rumpai laut dan agar-agar. Produk ini dibeli mereka yang suka berlari jarak jauh.

“Snek tenaga kami tiada gula tiruan atau pengawet bahkan kaya pelbagai kekacang dan bijian yang membekal sumber protein. Ia ibarat ‘compact food’ kerana padat dengan khasiat,” katanya sambil menambah mereka juga ada menghasilkan biskut berprotein tinggi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sitec lahir 650 usahawan e-dagang, mahu perluas ke luar bandar

SHAH ALAM, 23 DIS: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) berjaya melahirkan 650 peniaga melalui platform itu sejak 2015.

Ketua Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata agensi itu turut membantu seramai 90 pakar penyedia perkhidmatan dalam landasan digital ekonomi.

“Sitec menggalakkan lebih ramai peniaga menceburi e-dagang ketika dunia dilanda Covid-19 dan akan memperluas program ini ke kawasan luar bandar bagi memastikan tiada yang ketinggalan,” katanya pada program bual bicara anjuran Media Selangor di sini malam tadi.

Jelas Kai Ping, Sitec menyasar untuk membantu 100 lagi usahawan e-dagang tahun depan dan 30 pakar penyedia perkhidmatan dalam platform itu.

Katanya, agensi berkenaan turut mengadakan anugerah peniaga e-dagang bagi usahawan yang memiliki kualiti perkhidmatan, kreatif dan inovasi.

“Peniaga perlu bijak mempromosi produk mereka supaya 80 peratus pelanggan ulang beli sementara 20 peratus lagi mendapatkan pelanggan baharu,” kata Kai Ping lagi.

Sejak ditubuhkan, Sitec menganjurkan hampir 100 program bagi membantu usahawan menceburi perniagaan digital sesuai perkembangan masa kini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sitec lahir 625 peniaga e-dagang, latih 9,000 usahawan kecil

SHAH ALAM, 16 OKT: Majlis Teknologi Informasi dan E-Dagang Selangor (Sitec) berjaya melahirkan seramai 625 peniaga e-dagang dalam tempoh lima tahun.

Ketua eksekutifnya berkata institut tersebut turut melatih lebih 9,000 usahawan kecil dan sederhana (PKS) serta individu untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian.

“Sitec menyediakan peluang latihan perniagaan kepada pelbagai pihak melalui kelas e-dagang, `master class’, `online 100′ dan ‘brands 100’ untuk mengubah bentuk perniagaan tradisional.

“Ekosistem pendigitalan atau dunia e-dagang akan terus diberi tumpuan seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadi pintu gerbang perdagangan di Asia Tenggara,” kata Yong Kai Ping pada Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor2020 secara maya semalam.

Beliau berkata pihaknya turut menganjur program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 di beberapa daerah bagi membantu usahawan memulakan perniagaan e-dagang.

Pada 20 September, Dato’ Menteri Besar mahu keupayaan mengadaptasi arus digital dalam perniagaan bermula dari sekarang, bukan menunggu lima hingga 10 tahun lagi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan pantas teknologi menuntut usahawan untuk lebih proaktif dengan mengubah strategi pemasaran supaya mampu bertahan dalam perniagaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sitec catat nilai dagangan kasar RM200 juta sejak ditubuhkan

SHAH ALAM, 8 OKT: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) mencatatkan nilai dagangan kasar berjumlah RM200 juta sejak penubuhannya empat tahun lalu.

Ketua eksekutifnya berkata program Smart Selangor City Convention merekodkan pencapaian tertinggi sebanyak RM77 juta selepas hampir 100 pempamer dari dalam dan luar negara menyertai program tahunan itu.

“Top E-Commerce Merchant Award merekodkan RM56 juta sejak ia dilancarkan pada 2016. Tahun lalu sejumlah RM20 juta dicapai program ini.

“Sitec juga berjaya memperoleh RM41 juta melalui program Online 100 dan Apps 100 dengan RM15 juta dilaporkan tahun lalu. Program ini melatih 575 usahawan sejak Sitec ditubuhkan,” kata  Yong Kai Ping kepada Media Selangor ketika ditemui di pejabatnya kelmarin.

Beliau berkata RM26 juta diterima daripada Program Pemecut Selangor (Selangor Accelerator Programme) iaitu program yang memainkan peranan mempromosi dan mengiklankan produk usahawan di platform e-dagang.

“Program ini telah melahirkan lebih 90 pakar penyedia perkhidmatan dalam platform digital ekonomi sejak dua tahun lalu,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2015, Sitec menganjurkan hampir 100 program bagi membantu usahawan menceburi perniagaan digital selain inisiatif mengubah bentuk perniagaan tradisional kepada usahawan dalam talian.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sitec lahir lebih 90 pakar khidmat digital, promosi produk usahawan

AMPANG, 20 SEPT: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) melahirkan lebih 90 pakar penyedia perkhidmatan dalam platform digital ekonomi sejak dua tahun lalu.

EXCO Perindustrian dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata kesemua menjalani latihan dan bimbingan selama empat bulan di bawah Program Pemecut Selangor (Selangor Accelerator Programme).

“Pakar penyedia perkhidmatan ini berperanan mempromosi dan mengiklankan produk usahawan di platform e-dagang seperti Lazada, Shopee, Lazada, BungkusIT serta Youbeli.

“Jika peniaga tidak tahu cara membuat iklan dengan baik walaupun menjual produk yang bagus, maka pakar ini sedia membantu,” katanya berucap pada program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 di di sini semalam.

Jelajah siri ketiga itu menghimpunkan 200 usahawan sekitar Ampang untuk mempelajari ilmu perniagaan digital daripada Shopee, Lazada, Boost e-dompet, Avana, Ninja Van, BungkusIT, Youbeli dan agensi Kerajaan Negeri antaranya Hijrah Selangor.

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI EXCO SELANGOR

Sitec latih 575 usahawan, nilai dagangan RM41 juta – EXCO

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) berjaya melatih kira-kira 575 usahawan mikro serta Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi menjalankan perniagaan dalam talian untuk tempoh lima tahun.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata ia melibatkan jumlah dagangan kasar RM41 juta dengan menyediakan banyak peluang pekerjaan.

“Perkembangan ini sekali gus menyaksikan sebanyak 60 syarikat baharu ditubuhkan selain menyediakan lebih 6,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

“Ini juga membuktikan industri e-dagang semakin berkembang bukan hanya di dalam negara malah ke peringkat antarabangsa hasil daripada jumlah dagangan ini,” kata Dato’ Teng Chang Khim selepas melancarkan Selangor Accelerator Program (SAP) Demo Day 2020 di Pullman Bangsar di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Eksekutif Sitec Yong Kai Ping.

Chang Khim berkata beliau yakin dengan keupayaan usahawan mikro dan IKS baharu khususnya yang dilatih menerusi program SAP untuk mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.

Ini kerana, katanya usahawan berkenaan mempunyai kreativiti dalam penciptaan produk dengan menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI).

“Produk (dihasilkan) bukan yang dikilangkan sebaliknya melalui kreativiti mereka mencipta perisian menggunakan sistem AI dan tahap (penghasilan produk) sepenuhnya bergantung pada teknologi,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

SITEC bangun 350 aplikasi berdepan revolusi industri

SHAH ALAM, 9 NOV: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) sedia berhadapan perkembangan pesat e-dagang dengan membangunkan pelbagai aplikasi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata pada masa ini SITEC berjaya membangunkan kira-kira 350 aplikasi membabitkan 350 usahawan muda.

“Kita banyak bersedia ke arah Revolusi Industri 4.0 dan e-dagang sebab ini masa hadapan yang luas dan membabitkan bilion dolar Amerika Syarikat.

“Sebagai contoh, melalui SITEC kita sediakan 100 aplikasi setahun dan sekarang kita sudah siapkan kira-kira 350 aplikasi membabitkan 350 usahwan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Mini Ekspo Usahawan Selangor (MEXUS) Daerah Gombak 2019 di Melawati Mall di sini, hari ini.

Turut hadir EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Pada masa sama, Amirudin turut mengingatkan generasi muda bahawa pekerjaan makan gaji bukanlah segala-galanya.

Beliau sebaliknya berkata generasi muda juga boleh memilih menceburi bidang keusahawanan yang mampu menjamin pendapatan lumayan.

“Kita ada program ‘zero to hero’ atau blue print kemiskinan yang membantu memberi peralatan perniagaan tetapi ramai yang tidak mengambil kesempatan ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

SITEC pemacu utama ekonomi digital

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 DIS: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) yang lebih dikenali sebagai pemacu utama dalam mempromosikan ekonomi digital melalui program e-dagang, ‘startups’ dan ‘Smart City’ berjaya memberi kesan ekonomi RM93 juta.

EXCO Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, SITEC juga kini sudah melatih 424 pengusaha IKS bagi menjalankan perniagaan dalam talian dengan jumlah dagangan kasar RM10.3 juta.

Malah, katanya, inkubator SITEC yang berkeluasan 11,000 kaki persegi atau lebih dikenali sebagai Selangor Digital Creative Centre dianugerahkan status Malaysia Digital Hub.

“Ia adalah inisiatif untuk membantu memberikan ruang kerja kepada syarikat tempatan dan antarabangsa menghubungkan mereka dengan ekosistem perniagaan digital di ASEAN mahupun peringkat global dengan lebih berkesan.

“Ini adalah pengiktirafan besar kepada usaha SITEC membangunkan ‘startup’ di Selangor,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Beliau berkata, melalui Digital Hub itu, beberapa kelebihan turut dinikmati antaranya pengecualian cukai korporat, program teknologi usahawan, akses kepada pembiayaan, latihan dan bimbingan, tawaran kos rendah bagi perniagaan jalur lebar serta kebebasan pemilikan syarikat asing untuk melabur.

“SITEC juga menjalankan kelas e-dagang secara percuma kepada pengusaha IKS bagi menambahkan kemahiran dan pengetahuan serta mengaplikasikan kepada perniagaan mereka.

“Kesan daripada jumlah dagangan ini, kita dapat melihat bagaimana perkembangan industri e-dagang meningkat tidak hanya diperingkat domestik, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, SITEC juga berjaya menganjurkan tiga persidangan dan konvensyen yang berjaya menarik 20,000 orang, sejak 2016.

Katanya, lebih RM75 juta kesan ekonomi dari peserta berjaya dicapai menerusi pameran dan acara berkenaan.

“Pada tahun ini, SITEC menganjurkan ‘Selangor Accelerator Program 2018 (SAP), seramai 27 kumpulan mengikuti program ini dan 10 kumpulan terbaik juga mempersembahkan perniagaan mereka di China serta berjaya menarik 1 juta tontonan dalam talian semasa dijalankan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

E-dagang peluang luas perniagaan secara maya

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Kerajaan Negeri akan terus menyediakan ruang dan peluang untuk peniaga tempatan yang ingin beralih ke e-dagang selari perkembangan semasa dunia perniagaan.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, kesediaan mereka bersaing seiring cabaran perniagaan menerusi inovasi dan kreativiti wajar dicontohi semua pihak untuk terus memantapkan persaingan e-dagang.

“Kerajaan Negeri melalui Majlis Teknologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC) menetapkan inisiatif membantu peniaga tempatan dalam peralihan ke e-dagang.

“Malaysia akan melalui perubahan berterusan dalam sektor ekonomi digital yang perlu dibincangkan dan dinilai semula setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan bersempena SITEC Malaysia Top EC Merchant Award 2018 kali ketiga, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC).

Chang Khim berkata, peniaga tempatan kini boleh mempelajari e-dagang menerusi alam maya tanpa perlu menghadiri kelas secara fizikal.

Katanya, kesediaan komuniti setempat berkongsi pengalaman dan pandangan membuka lebih ruang kepada penyertaan lebih ramai peniaga e-dagang.

“Inisiatif ‘Online 100’ juga membantu lebih daripada 400 perniagaan berasaskan batuan beralih kepada penjualan secara dalam talian dengan nilai dagangan kasar lebih RM8 juta.

“Terdapat juga portal pembelajaran maya SITEC Academy, bagi mereka yang tidak dapat menghadiri kelas e-dagang secara fizikal,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

e-dagang Selangor catat jualan RM 4.8 juta pada 2017

NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 JUN: Lebih 300 syarikat yang menjalankan perniagaan e-dagang, di Selangor berjaya mencatatkan jualan RM4.8 juta, pada 2017.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, nilai jualan itu direkodkan menerusi 33,000 tempahan pembelian dalam talian sepanjang tahun terbabit.

“Perkembangan pesat komuniti e-dagang yang semakin jelas, pada 2016 mendorong kami untuk memberi ganjaran dan mengenali peniaga dalam talian terbabit yang merupakan pelayar di lapangan serta mewujudkan nilai juga semangat yang benar-benar membolehkan e-Dagang berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Pelancaran Pertandingan Peniaga e-dagang (ECM) Terbaik di Selangor Digital Creative Centre, i-City, di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC) sebelum ini turut memberi latihan kepada peniaga e-dagang melalui Akademi SITEC.

Katanya, sejak SITEC ditubuhkan pada 2015, seramai 4,000 peniaga e-dagang menyertai latihan yang disediakan.

“Akademi SITEC turut menyediakan lebih 200 sumber pembelajaran e-dagang seperti video dan persembahan slaid secara percuma untuk pihak yang berminat mengetahui lebih lanjut berkenaannya,” katanya.

Terdahulu, Chang Khim melancarkan Pertandingan Peniaga e-dagang (ECM) Terbaik 2018 dengan pemenang akan diumumkan, pada 15 September ini menjelang Selangor Smart City & Digital Economy Convention 2018, di MITEC.

Pertandingan itu menyediakan hadiah wang tunai RM10,000 bagi pemenang pertama, RM5,000 (kedua) dan RM3,000 (ketiga).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SITEC peneraju latihan teknologi maklumat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 JAN: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) mencapai prestasi membanggakan dengan muncul institusi peneraju latihan teknologi maklumat di negara ini, sejak lebih tiga tahun lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, dalam tempoh itu SITEC berperanan mengendalikan pelbagai program berkaitan bidang berkenaan untuk dikongsi bersama pihak berkaitan.

“SITEC menunjukkan prestasi luar biasa dalam tempoh tiga setangah tahun lalu dan muncul peneraju dalam bidang ini mengatasi pelbagai agensi lain, di Malaysia.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua tenaga kerja di SITEC atas pencapaian ini,” katanya ketika merasmikan Kelas E-Dagang 2018 (E-Commerce Class 2018), di pejabat SITEC di sini, hari ini.

Beliau berkata, kepakaran SITEC tidak terbatas dalam bidang latihan e-dagang ttapi turut merangkumi program dalam talian (online).

Katanya, program “Online 100” diadakan kini mencatat kira-kira 300 peserta dalam tempoh Jun 2015 hingga Disember tahun lalu dan melepasi sasaran ditetapkan.

“Melalui program dijalankan, SITEC turut menjana hasil jualan lebih kurang RM7.3 juta dan pencapaian ini tidak pernah diraih pihak lain.

“Maka, kita perlu terus melangkah ke hadapan dengan program seterusnya, mungkin dengan sasaran baru “Online 1,000″ pula,” katanya.

Turut hadir, Ketua Eksekutif SITEC, Yong Kai Ping.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: SITEC terima peruntukan RM6 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Selangor Information Technology and E-Commerce Council (SITEC) menerima peruntukan RM6 juta bagi memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi maklumat dan pembangunan e-dagang, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, program yang menggunakan ‘model Epicentre Google for Entrepreneurs’ di Stockholm dan program accelerator untuk membangunkan komuniti ‘start-up’ akan dilaksanakan.

Katanya, ia bertujuan memperkasa komuniti perniagaan kecil dan sederhana (SME), di Selangor.

“Selaras dengan trend global yang beralih kepada Fourth Industrial Revolution (IR4.0), beberapa bidang industri berteknologi tinggi dan berimpak tinggi dikenal pasti berpotensi untuk berkembang seperti e-commerce, bioteknologi, aeroangkasa dan industri halal,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM2 juta untuk pembangunan ‘blueprint’ aeroangkasa dalam usaha mengangkat Selangor sebagai pemain utama dalam sektor itu.

Katanya, Selangor berjaya menarik perhatian General Electric International melalui GE Engine Services Malaysia yang terlibat dalam bidang Maintenance, Repair and Overhaul (MRO).

“Ia bertujuan memperluaskan pelaburan baru bernilai RM200 juta dalam meningkatkan keupayaan kemudahan untuk menyelenggara ‘leap engine’ di Subang.

“Baker Hughes (BHGE), syarikat dimiliki General Electric International bakal membina kemudahan MRO bagi penyelenggaraan ‘oil and gas turbine’ bernilai RM200 juta di Klang.

“Pusat ini menyediakan perkhidmatan kepada pasaran Asia Pasifik,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menyediakan dana awal berjumlah RM10 juta bagi membiayai penyelidikan dan pembangunan (R&D) bioteknologi sebagai insentif menjalankan penyelidikan di Selangor.