Categories
SELANGOR

#Selangor18: Tambahan RM12 juta untuk Smart Life

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 NOV: Peruntukan tambahan RM12 juta disediakan Kerajaan Negeri untuk skim Smart Life menerusi Belanjawan 2018 bagi terus membantu rakyat, di kawasan perumahan pangsapuri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, skim dimulakan tahun ini dengan bantuan khas RM30 juta bagi menggantikan lif lama secara percuma tanpa perkongsian dengan penduduk.

“Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menggantikan 118 unit lif baru bagi 59 blok pangsapuri kos rendah dengan peruntukan RM29.3 juta untuk mensejahterakan 87,000 penduduk di 17,000 unit kediaman,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri prihatin dengan keadaan lif di pangsapuri kos rendah dan bersimpati dengan pemilik juga penghuni yang tidak mampu membiayai penyelenggaraan lif usang serta sering mengalami kerosakan hingga menimbulkan kesusahan.

Katanya, kerja penyelenggaraan lif amat membebankan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) memandangkan kos penyelenggaraan satu unit lif mencecah RM650 setiap bulan.

“Ini bermakna, penduduk terpaksa menanggung sehingga RM7,800 setahun untuk menyelenggara satu unit lif.

“Bayangkan jika setiap blok mempunyai dua atau tiga unit lif, maka kos penyelenggaraan akan mencecah hampir RM25,000 setahun bagi satu blok,” katanya.