Categories
AGAMA SELANGOR

Wakaf terus disemarak

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri bersetuju menyumbang kepada Tabung Wakaf Pembinaan Masjid Denai Alam sebanyak RM5 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif anak-anak kariah di Denai Alam yang menyumbang RM2 juta dan sektor swasta menyumbang RM12 juta turut dihargai.

“Wakaf adalah amalan dituntut dalam Islam dan merupakan tabung amanah berupaya memajukan masyarakat ke arah pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran di samping memberikan perkhidmatan kebajikan hasil daripada kekayaan ini.

“Sistem wakaf amat berkesan untuk menjamin prinsip pengagihan ekonomi adil dan boleh menyumbang kepada merapatkan jurang sosio ekonomi dalam masyarakat dan mengurangkan kemiskinan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Perbadanan Wakaf Selangor disaran mengambil langkah proaktif mempromosikan sistem wakaf selaras dengan tuntutan syariah dan Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015.

Katanya, anggota perkhidmatan awam, sektor swasta dan umat Islam turut digalak mendukung sistem wakaf.

“Mereka boleh membuat sumbangan kepada tabung wakaf diwujudkan Perbadanan Wakaf Selangor untuk pembangunan ekonomi termasuk pembinaan institusi Islam dan institusi pengajian Islam,” katanya.

=EZY=