Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Siap sedia hadapi fenomena air laut pasang besar bermula 4 Nov

SHAH ALAM 1 NOV: Kerajaan Selangor mengarahkan persediaan bencana tahap tinggi dilaksanakan melibatkan Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam bagi menghadapi fenomena air laut pasang besar.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Smart Selangor Command Centre (SSCC) dalam kenyataan media berkata berdasarkan jadual pasang surut air laut bagi Pelabuhan Klang pada 4 November 2017 sehingga 7 November 2017, paras air laut diramal akan berada pada paras yang tertinggi.

“Fenomena air laut pasang besar tertinggi diramalkan akan berlaku pada 5 November 2017 di persisiran pantai Negeri Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.6 meter.

“Sekiranya cuaca hujan lebat dan keadaan angin kencang berlaku, risiko berlakunya banjir akan meningkat,” katanya dalam kenyataan media.

Justeru itu, Kerajaan Selangor menasihatkan agar penduduk di kawasan berisiko dapat mematuhi arahan Pihak Berkuasa Keselamatan.

=EZY=