Categories
NASIONAL

Sokongan penjawat awam, isyarat rakyat tolak Umno-BN

OLEH HAFIZAN TAIB

JOHOR, 26 NOV: Sokongan penjawat awam dalam program jelajah KEADILAN di Johor, memberi isyarat jelas terhadap keperluan melakukan perubahan dalam pentadbiran negara pada pilihan raya umum (PRU) nanti.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sokongan disuarakan terhadap Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah gambaran rakyat akan bertindak menolak pemerintahan diterajui Umno-Barisan Nasional (BN).

“Dalam program sarapan pagi dimulakan di Taman Mawar, saya gembira kerana ramai pegawai kerajaan datang ke restoran di situ ternampak saya dan berbisik menyatakan sokongan.

“Saya faham akan tugas dijalankan mereka tetapi hati mereka menyatakan memang perlu berlaku satu perubahan,” katanya dalam majlis Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Beliau juga menyatakan masyarakat negeri itu terus melahirkan sokongan dalam beberapa program dijalankan seperti majlis sunathon di Kawasan Rukun Tetangga Taman Cahaya Masai.

Katanya, dasar KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN) meletakkan rakyat sebagai teras dalam pentadbiran sama ada di peringkat negeri mahupun negara.

“Kita sedia maklum ketika ini rakyat di seluruh negara sedang bergelut dengan masalah ekonomi dan tiada siapa boleh menafikannya dengan golongan miskin juga sederhana amat terkesan.

“Apabila negara hari ini berhutang begitu besar dengan hutang isi rumah melebihi RM1 trilion maka yang akan terkesan adalah anak-anak kita.

“Kerajaan tiada pilihan dengan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat disebabkan pimpinan korup juga tidak bertanggungjawab,” katanya dengan harapan rakyat berani bertindak melakukan perubahan dalam PRU akan datang.

=EZY=