Categories
AGENDA NASIONAL

MB serah sumbangan RM12,000, baucar beli-belah sempena Deepavali

KLANG, 25 OKT: Dato’ Menteri Besar menyampaikan sumbangan bernilai RM12,000 dan baucar Jom Shopping kepada peserta terpilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa sempena sambutan Deepavali.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyerahkan sijil penghargaan dan hadiah kepada pemenang Cabaran Sihat Sejahtera Sentosa 60 hari anjuran pejabat DUN Sentosa.

Beliau yang juga pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) negeri kemudian melancarkan Jelajah Deepavali KEADILAN Selangor di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa.

Turut hadir EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunaraj, ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.

Jelajah Deepavali KEADILAN Selangor berlangsung selama tiga hari bermula hari ini melibatkan 22 cabang parti.

Cabang terlibat ialah Kuala Langat, Shah Alam, Kota Raja, Klang, Kapar, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Selayang dan Hulu Selangor.

Jelajah turut diadakan di Hulu Langat, Puchong, Gombak, Ampang, Pandan, Bangi, Sepang, Damansara, Sungai Buloh, Subang dan Petaling Jaya.

 

Categories
NASIONAL

Azmin: Dulu 20 tahun lawan Tun M, siapalah Najib

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 9 DIS: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tidak gentar berhadapan dengan fitnah dan pelbagai tekanan oleh Umno-Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor, berkata pengalaman panjang sebagai ahli politik menyebabkan beliau lebih bersemangat berjuang demi rakyat.

“Selama 20 tahun saya melawan Dr Mahathir tetapi sekarang Dr Mahathir dah insaf masuk pula Pakatan Harapan.

Kalau saya boleh lawan Dr Mahathir, siapalah Najib cicak mengkarung ini tuan-tuan,” katanya pada program Jelajah Peduli Rakyat di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Subang di sini, hari ini.

Jelasnya, sebelum ini beliau pernah berhadapan dengan pelbagai cabaran getir termasuk ditahan di lokap, ditelanjang dan dimalukan dengan pelbagai cara.

Katanya, selain itu ahli keluarga dan saudara terdekat turut diancam dengan pelbagai cara.

“Kalau kamu tak setuju dengan saya, lawanlah dengan saya bukannya lawan dengan anak saudara saya, jangan lawan keluarga saya.

“Jangan ingat bila kamu lawan keluarga saya, saya akan takut dan bacul. Saya bukan Pemuda Umno. Saya akan lawan habis-habisan,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Sokongan penjawat awam, isyarat rakyat tolak Umno-BN

OLEH HAFIZAN TAIB

JOHOR, 26 NOV: Sokongan penjawat awam dalam program jelajah KEADILAN di Johor, memberi isyarat jelas terhadap keperluan melakukan perubahan dalam pentadbiran negara pada pilihan raya umum (PRU) nanti.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sokongan disuarakan terhadap Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah gambaran rakyat akan bertindak menolak pemerintahan diterajui Umno-Barisan Nasional (BN).

“Dalam program sarapan pagi dimulakan di Taman Mawar, saya gembira kerana ramai pegawai kerajaan datang ke restoran di situ ternampak saya dan berbisik menyatakan sokongan.

“Saya faham akan tugas dijalankan mereka tetapi hati mereka menyatakan memang perlu berlaku satu perubahan,” katanya dalam majlis Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Beliau juga menyatakan masyarakat negeri itu terus melahirkan sokongan dalam beberapa program dijalankan seperti majlis sunathon di Kawasan Rukun Tetangga Taman Cahaya Masai.

Katanya, dasar KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN) meletakkan rakyat sebagai teras dalam pentadbiran sama ada di peringkat negeri mahupun negara.

“Kita sedia maklum ketika ini rakyat di seluruh negara sedang bergelut dengan masalah ekonomi dan tiada siapa boleh menafikannya dengan golongan miskin juga sederhana amat terkesan.

“Apabila negara hari ini berhutang begitu besar dengan hutang isi rumah melebihi RM1 trilion maka yang akan terkesan adalah anak-anak kita.

“Kerajaan tiada pilihan dengan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat disebabkan pimpinan korup juga tidak bertanggungjawab,” katanya dengan harapan rakyat berani bertindak melakukan perubahan dalam PRU akan datang.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Sambutan baik, bukti rakyat mahu perubahan di Johor

OLEH HAFIZAN TAIB

JOHOR, 26 NOV: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menganggap sambutan baik rakyat Johor terhadapnya dan pimpinan KEADILAN lain, membuktikan kesediaan mereka melakukan perubahan terhadap pentadbiran negeri itu.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, ia adalah petanda jelas rakyat dahagakan pembaharuan bagi menikmati kehidupan lebih baik berbanding apa dihadapi ketika ini menerusi pentadbiran diketuai Umno-Barisan Nasional (BN).

“Di Johor, saya dihalang masuk ke Projek Perumahan Rakyat Desa Mutiara oleh pimpinan Umno dan terpaksa beralih ke tempat lain tetapi saya puji penduduk kerana mereka keluar bertemu saya,” katanya dalam majlis ceramah Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Kota Masai, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, berbanding layan buruk pimpinan Umno-BN, beliau menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memberi layanan istimewa terhadapnya dalam lawatan ke Istan Johor, tahun lalu.

Katanya, Sultan Johor menerima dengan baik malah menjamunya dengan masakan disediakan baginda sendiri di istana berkenaan.

“Kita majoriti orang Islam tidak seharusnya berbalah kerana Allah berpesan di dalam al-Quran, fastabiqul khairat dengan menyuruh kita berlumba-lumba melakukan kebaikan.

“Saya nak melakukan kebaikan dengan apa yang dibuat di Selangor, saya percaya di Johor pun boleh dibuat,” katanya.

Beliau berkata, apa berlaku itu membuktikan kedudukan Umno-BN ketika ini dalam keadaan nazak dan rakyat tidak harus takut bagi melakukan perubahan.

“Bila nazak, jangan rakyat semua gusar (untuk berubah).

“Selangor dahulu kubu Umno tetapi sekarang dah masuk muzium,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Rakyat berkuasa tukar pentadbiran negara

OLEH HAFIZAN TAIB

JOHOR, 26 NOV: Kejayaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mentadbir Selangor dan Pulau Pinang, adalah model terbaik untuk rakyat melakukan perubahan terhadap pentadbiran negara di Putrajaya.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ai, berkata rakyat berhak memperoleh kehidupan lebih baik berbanding apa dilalui ketika ini akibat pentadbiran penuh bermasalah oleh Umno-Barisan Nasional (BN) diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, rakyat boleh melakukan perubahan kerana mereka berkuasa bagi tujuan itu dan ia telah dibuktikan rakyat Zimbabwe yang bangkit bagi menjatuhkan Presidennya, Robert Mugabe, baru-baru ini.

“Mugabe berkuasa 37 tahun dan dia tidak dijatuhkan melalui pilihan raya tetapi dijatuhkan bila rakyat bangkit.

“Kalau setakat yang ada ini (Umno-BN), InsyaAllah, dalam tempoh beberapa bulan lagi rakyat bangkit dan bawa perubahan di Putrajaya,” katanya dalam Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Kota Masai, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, pelbagai perubahan dilakukan dalam pentadbiran di Selangor dan Pulau Pinang sejak lapan tahun lalu di bawah PAKATAN, memberikan kebaikan kepada rakyat dan ia perlu dinikmati seluruh rakyat negara ini termasuk Johor.

“Mengapa saya nak rakyat Johor lakukan perubahan kerana saya bukan nak tabur janji tetapi kita telah membuktikannya dengan membawa perubahan di Selangor dan Pulau Pinang diterajui Ketua Menteri, Lim Guan Eng,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Program KEADILAN dihalang bukti Umno-BN tergugat di Johor

OLEH HAFIAN TAIB

JOHOR, 26 NOV: Umno-Barisan Nasional (BN) nyata tergugat apabila didakwa menghalang program Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, Tebrau, di sini, hari ini.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata tindakan diambil itu adalah bukti jelas rakyat ketika ini beralih arah dan mahukan perubahan dalam pentadbiran negara.

“Bendera dan gambar saya dirampas, saya tidak tahu adakah ini demokrasi di Johor?

“Saya bukan perompak dan pembunuh tetapi hanya rakyat Malaysia. Mengapa mereka takut dengan saya? soalnya dalam majlis Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Tebrau, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, program itu sepatutnya dijalankan di PPR Desa Mutiara kerana sebagai pemimpin, beliau ingin turun ke bawah untuk melihat kehidupan rakyat.

Katanya, difahamkan penduduk di kawasan itu dalam keadaan susah kerana kos sara hidup tinggi tetapi ada parti politik tidak membenarkannya masuk ke sana.

“Mengapa Majlis Bandaraya Johor Bahru rampas (bendera KEADILAN)? Kerana ada arahan dari atas,” katanya

Katanya, KEADILAN adalah salah satu parti politik yang sah di dalam Pakatan Harapan (PAKATAN ) dan telah mendapat mandat rakyat bagi membentuk kerajaan di Selangor juga Pulau Pinang.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Budaya politik bersih Pakatan, bina Malaysia baru

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PAHANG, 19 NOV: Budaya politik bersih diamalkan pentadbiran Pakatan mampu menjana kepada pembentukan Malaysia baru sejahtera.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prinsip kesatuan dan integriti dipegang utuh pentadbiran Pakatan mampu merealisasikan hasrat itu.

“Saya berikrar, kita mahu politik mengangkat martabat Islam, orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

“Saya tidak mahu kita berlumba-lumba melakukan fitnah, tetapi saya mahu pimpinan kita berlumba untuk mengangkat hak rakyat,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Simpang Kepayang, Bera, malam tadi.

Dalam perkembangan itu, penganjuran jelajah KEADILAN di Pahang diadakan sebagai medan terbaik kepada pimpinan Pakatan untuk menyalurkan informasi kejayaan Pakatan dalam mentadbir Selangor.

Penganjuran jelajah itu juga mampu membuka ruang kepada rakyat untuk menilai seadilnya bagi membuat pilihan pada pilihanraya umum akan datang.

Siri jelajah itu melibatkan beberapa daerah utama di Pahang antaranya, Mentakab, Temerloh dan Bera.

Kemuncak program menerusi penganjuran Ceramah Umum di Simpang Kempayang yang disaksikan lebih 5,000 penduduk setempat.

Sebelumnya, Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor turun padang menyantuni masyarakat setempat di Kampung Batu Kapur Mentakab dan Kampung Paya Pulai, Temerloh.

=EZY=