Categories
NASIONAL

SUARAM desak bebas kanak-kanak ditahan di bawah POCA, SOSMA

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 NOV: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mendesak kerajaan segera membebaskan 159 kanak-kanak di bawah umur yang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Pencegahan Janayah 1959 (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Dalam kenyataan media, Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, SUARAM mengutuk penggunaan undang-undang digunakan dengan menafikan hak golongan itu yang terkandung di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak (UNCRC).

“SUARAM terkejut dengan pendedahan di Parlimen berkenaan penahanan tanpa bicara ke atas 142 kanak-kanak di bawah POCA dan 17 di bawah SOSMA yang menggambarkan penyeksaan dan penyalahgunaan kuasa.

“Sehubungan itu, kerajaan diminta memberi jawapan segera terhadapnya dan mengapa perlu mereka ditahan di bawah peruntukan keselamatan serta tidak tertakluk kepada perbicaraan di mahkamah seperti digariskan dalam Seksyen 83(1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan diingatkan bahawa kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat keadilan daripada pihak berkuasa berwibawa dan bebas seperti diperuntukkan UNCRC dan Akta Kanak-kanak 2001.

Dengan itu, katanya, SUARAM meminta semua kanak-kanak bawah umur ditahan di bawah SOSMA dan POCA dibebaskan dengan kadar segera.

“Kita juga memohon penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat keputusan penahanan tanpa perbicaraan ke atas kumpulan ini.

“Ini kerana jenayah terhadap kanak-kanak perlu diselesaikan melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

“SUARAM mengulangi undang-undang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan tidak mempunyai tempat di negara demokratik dan mesti dimansuhkan serta-merta,” katanya.