Categories
NASIONAL

TH sahkan larangan bergambar, rakam video di dua masjid

 

SHAH ALAM, 30 NOV: Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan larangan bergambar di Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Makkah oleh Kerajaan Arab Saudi kepada semua Jemaah.

Perkara itu disahkan selepas TH menerima makluman rasmi daripada Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, berdasarkan surat tersebut, penguatkuasaan dikeluarkan bagi memastikan ketenteraman beribadat.

“Larangan dibuat juga bagi mengelak sebarang tindakan yang boleh mencetuskan gangguan dan memelihara kesucian dua masjid berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, penerangan dan nasihat melalui media sosial akan turut dilakukan secara berkala kerana ia lebih cepat serta mudah.

“TH akan memaklumkan larangan tersebut kepada semua bakal haji semasa Kursus Asas Haji yang akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 2 Disember depan.

“Kerajaan Arab Saudi mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai jemaah haji berdisiplin dan mematuhi undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, larangan itu dikeluarkan Kementerian Luar Arab Saudi, pada 12 November lalu.

Larangan itu juga dibuat supaya tidak mengganggu kelancaran jemaah lain beribadah.