Categories
SELANGOR

Tiada rumah dirampas sepanjang 2017

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri tidak merampas sebarang rumah terbiar pada 2017, kata Ean Yong Hian Wah.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru itu berkata, rampasan tanah dibuat Kerajaan Negeri kini mengikut Seksyen 100 Kanun Tanah Negara (KTN) bagi kegagalan pembayaran cukai.

Ia turut melibatkan Seksyen 127 hingga Seksyen 130 KTN bagi tanah yang melanggar syarat.

“Mengikut Seksyen 100 KTN memperuntukkan bahawa tindakan pelucuthakan boleh diambil sekiranya tiada cukai dibayar mana-mana pemunya tanah yang telah diberimilik dan dianggap sebagai tunggakan.

“Pentadbir Tanah seterusnya boleh melucuthakan tanah tersebut menjadi Tanah Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Selangor 2018.

Menurutnya, di bawah Seksyen 127 hingga 140 KTN, Kerajaan Negeri boleh melucuthakan mana-mana tanah yang telah melanggar syarat nyata tanah tersebut.