Categories
SELANGOR

Tindakan Jamal jejas pendapatan peniaga makanan – Suee Lim

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 NOV: Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, perlu menilai semula program makanan tengahari percuma dijalankan di Sekinchan kerana ia menjejaskan pendapatan pengusaha restoran dan gerai makanan di situ.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata tindakan dilaksanakan itu bukan penyelesaian holistik bagi menangani masalah dihadapi rakyat ketika ini tetapi memerlukan satu pendekatan berbeza demi kepentingan semua pihak.

Beliau mengesa Jamal mengambil kira kepentingan peniaga dan pengusaha kecil gerai makanan serta restoran yang bergantung kepada hasil pendapatan daripada perniagaannya berbanding program makanan tengahari percuma dijalankan di Sekin Hotel & Resort miliknya.

“Disebabkan tingkah laku beliau, telah menjejaskan pendapatan mereka dan ini sesuatu yang sangat tidak sihat. ia bukan caranya (bagi mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup).

“Kalau Jamal seorang pemimpin yang berani bersuara mempertahankan hak rakyat maka beliau wajar membuat demonstrasi di Putrajaya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memansuhkan GST dan kembalikan subsidi kepada rakyat supaya harga barangan mengalami penurunan.

“Kalau harga barangan turun maka kos sara hidup akan turun dan rakyat kurang penderitaan,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, golongan terbabit berdepan pelbagai masalah akibat kelembapan pasaran kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menyebabkan kenaikan harga barang juga kos sara hidup.

Katanya, ia mendatangkan kesan dengan jumlah pelanggan semakin berkurangan disebabkan kuasa membeli yang mengecil dan kini menghadapi cabaran tambahan dengan program dijalankan Jamal.

“Kempen makanan tengahari percuma di Sekin Resort ini jelas memberi impak kepada perniagaan mereka yang semakin teruk.

“Program dijalankan juga secara tidak berkala, sekarang musim pilihan raya dan selepas itu mungkin tidak ada. Ini gimik politik sahaja,” katanya.

Jamal selaku Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, menjalankan program itu di Restoran Jamuan Rakyat di hotel berkenaan, Oktober lalu selepas program pertama di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, mendapat sambutan.