Categories
SELANGOR

Tuisyen percuma terpaksa buat promosi luar pagar sekolah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 NOV: Pihak bertanggungjawab menjalankan program Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) berhadapan halangan apabila sekolah tidak membenarkan promosi program percuma itu dilakukan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, vendor terbabit terpaksa mengadakan program promosi masing-masing, di luar pagar sekolah.

“Saya tidak menyalahkan sekolah kerana kita sedia maklum ini adalah arahan kementerian,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Selangor 2018, di sini, hari ini.

Katanya, perkara itu tidak wajar berlaku ekoran inisiatif terbabit dilaksanakan bagi meningkatkan taraf pendidikan masyarakat, di negeri itu.

Bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan atau tuisyen dilancarkan Kerajaan Negeri bagi membantu golongan pelajar yang mempunyai prestasi pelajaran di tahap sederhana atau lemah.

Bantuan ini diperuntukan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah.