Categories
SELANGOR

Pertanian semakin rancak, raih pelbagai kejayaan

 

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 NOV: Golongan petani dan penternak seluruh negeri diberikan perhatian khusus dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan bimbingan serta bantuan oleh jabatan berkaitan.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, hasil daripada komitmen itu memberikan pulangan positif kepada penggiat tani negeri.

Beliau berkata, perkembangan positif itu dibuktikan hasil komitmen Kerajaan Negeri dalam memberi galakan kepada petani untuk menerapkan kaedah pertanian berteknologi tinggi membabitkan kerjasama syarikat swasta.

Katanya, ia termasuklah penggunaan kaedah pertanian persis (precision agriculture) untuk memastikan produk pengeluaran dapat dihasilkan secara tepat dan bersistematik.

“Selain daripada itu penglibatan pihak swasta yang membawa bersama pengalaman, teknologi moden diberi perhatian untuk dilaksanakan di seluruh negeri.

“Antara kejayaan pengusaha sektor pertanian di peringkat kebangsaan antaranya jumlah pengeluar padi per hektar yang teringgi dicatatkan pada kadar purata 6.49 metrik tan per hektar berbanding pengeluaran purata negara iaitu 4.4 metrik tan per hektar.

“Selain itu, jumlah penerima anugerah myGAP dan myOrganik tertinggi direkodkan untuk tempoh lima tahun berturut-turut.

“Untuk tahun 2016 pula menyaksikan, 209 (21 peratus) pengusaha tanaman negeri dianugerahkan Sijil myGAP dan myOrganik 208 penerima Sijil myGAP dan 1 penerima Sijil myOrganik daripada 973 penerima sijil myGAP dan 15 penerima myOrganik dari seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Kelang, Dr Halimah Ali di Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Pada masa sama kata Zaidy, kejayaan lain diraih meliputi program pertanian fertigasi dengan perolehan jumlah polibeg tertinggi sebanyak 2 juta polibeg dihasilkan 1,000 pengusaha di atas tanah berkeluasan 790 hektar.

“Program Taman Kekal Pertanian Makanan (TKPM) Negeri juga menyaksikan kejayaan apabila mencatatkan jumlah hasil jualan tinggi sebanyak RM32 juta atau 43 peratus dari jumlah TKPM lain.

“Program ternakan ayam kampung secara berperingkat di Kuala Langat pula dilihat berjaya apabila Selangor menjadi antara pengeluar telur ayam tertinggi di Malaysia dan bekalan telur untuk negeri mencapai 100 peratus dari segi Self Sufficient Level (SSL),” katanya.