Categories
SELANGOR

Ubah sikap, parkir di tempat betul

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV: Pengunjung di kawasan Jalan Puteri Puchong, Bandar Baru Puchong dinasihatkan meletakkan kenderaan di aras bawah bangunan Puchong Financial City Center (PFCC) bagi mengelakkan kereta mereka dikunci jika diletakkan di tempat tidak dibenarkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, kadar parkir sekitar RM2 sejam pertama dan RM1 untuk setiap jam berikutnya adalah munasabah berbanding menghalang lalu lintas yang akhirnya dikenakan tindakan daripada penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Saya nasihatkan orang awam supaya mengubah sikap mereka bagi mengelakkan kesesakan dan penguatkuasa mengambil tindakan mengunci tayar kereta.

“Mereka boleh meletakkan kenderaan di PFCC yang terletak kawasan berhampiran dan tidak mengganggu lalu lintas. Kita tidak mahu insiden serangan terhadap penguatkuasa berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi mengulas insiden serangan sepasang suami isteri terhadap penguatkuasa MPSJ, kelmarin.

Dalam kejadian sekitar 12.40 tengahari, penguatkuasa MPSJ, Norsafuan Nordin diserang pasangan suami isteri berbangsa Cina ketika menjalankan penguatkuasan terhadap sebuah kereta Honda City yang diletakkan di tempat salah.

Norsafuan disembur cecair ke arah mukanya yang mengakibatkan mata beliau berasa pedih dan sukar bernafas.

Kejadian berlaku ketika beliau bersama seorang lagi rakan setugasnya, Syazwan Shukor melakukan rondaan kedua bagi memeriksa kenderaan berkenaan.

Difahamkan satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, pada hari sama sebaik kenderaan pasangan itu ditunda.

Ini merupakan kejadian kedua dialami Norsafuan selepas beliau turut diserang oleh seorang wanita yang memegang pengunci stereng di kawasan sama beberapa bulan lalu.

Kes berkenaan menarik perhatian ramai susulan penularan sebuah video kejadian itu di laman sosial.

Dalam sidang media sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berharap polis dapat memberkas suspek dalam masa terdekat.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Norsafuan dan Syazwan kerana bertindak profesional serta bertenang semasa menjalankan tugas selain tidak bertentangan secara fizikal dengan suspek,” katanya.