Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

2018: Pelan pembangunan generasi muda lebih inklusif

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 DIS: Kerajaan Negeri merangka pelan pembangunan generasi muda dengan lebih inklusif pada 2018.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri menyedari populasi golongan muda bawah 40 tahun di negeri itu melebihi 40 peratus.

Katanya, sebagai Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Selangor (PEMADAM), statistik masalah dadah di kalangan generasi muda amat membimbangkan ketika ini.

“Kajian yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dan universiti awam tempatan mendapati Kira-kira 40 peratus populasi penduduk adalah di bawah 40 tahun.

“Begitu juga dengan statistik yang diperolehi anak muda kini banyak terjebak dengan dadah jenis sintetik,” katanya.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri yakin program khusus untuk golongan muda amat penting dan sekaligus yakin mereka ini merupakan cerminan asas sebuah negeri.

Katanya, kemajuan teknologi moden khususnya jaringan sosial media turut diberi perhatian dan merupakan cabaran ketika ini.

“Gabungan badan bukan kerajaan, penggerak belia tempatan dan Team Selangor akan lebih diperlukan bagi menjalin kerjasama dalam merealisasikan program yang lebih inklusif.

“Setakat ini, kita menerima baik hubungan dan kerjasama erat dalam pelbagai program belia.

“Juga PEBT kini makin ke hadapan dalam membantu menjayakan usaha Kerajaan Negeri,” katanya.

=EZY=