Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

28 usahawan berjaya tamatkan modul program GROW

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 28 DIS: Seramai 28 usahawan berjaya menamatkan modul keusahawanan di bawah Program Graduate Realizing Opportunities Way Forward (GROW), di Bangunan PKNS BizPoint Seksyen 7, di sini, baru-baru ini.

Pengurus Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Ishak Hashim berkata, semua usahawan yang ditauliahkan itu turut berjaya mencapai jumlah jualan hampir RM800,000 bagi tempoh Jun sehingga November lalu.

“GROW adalah antara program pembudayaan keusahawanan oleh PKNS bertujuan untuk membangun dan membimbing siswazah yang berpotensi.

“Ianya dilaksanakan melalui bimbingan perancangan perniagaan, pengurusan kewangan, kaedah pemasaran serta pemantauan sasaran jualan secara konsisten bagi tempoh selama enam bulan,” katanya.

Ishak berkata, antara perniagaan dijalankan adalah perkhidmatan pendidikan kesihatan, pendidikan awal kanak-kanak, kosmetik, pakaian, produk makanan, cenderamata, IT Gadget dan perniagaan dalam talian.

Bermula 2006, seramai 273 peserta menyertai modul itu yang dahulunya dikenali sebagai Program Usahawan Siswazah dengan hasil jualan keseluruhan syarikat sebanyak RM17.3 juta, sehingga November lalu.

Majlis Pentauliahan dan Graduasi Usahawan PKNS dirasmikan Pengurus Besar Pembangunan Strategik PKNS, Suhaimi Kasdon.

Suhami dalam ucapannya berkata, program GROW mampu memberi kesedaran berhubung pentingnya ilmu keusahawanan, sekali gus mengekalkan pembentukan diri positif dalam kalangan peserta untuk mengemudi perniagaan masing-masing.

“Diharapkan segala ilmu yang dicurahkan kepada peserta dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi merencana perniagaan lebih berdaya saing dan mampu bertahan dalam pasaran yang lebih luas,” katanya.