Categories
PBT SELANGOR

Tangani isu penjaja luar di Bandar Mahkota Cheras

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 28 DIS: Persatuan Pusat Komersial Bandar Mahkota Cheras (BMC) memohon Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) segera menyelesaikan isu penjaja luar yang menjalankan perniagaan di kawasan itu tanpa keizinan mereka.

Pengerusinya, Terence Ee berkata, perkara itu pernah diusulkan sebelum ini kepada Ahli Majlis, namun tiada sebarang keputusan dibuat.

“Saya tidak pasti adakah mereka menyembunyikan sesuatu kerana membenarkan penjaja lain menjalankan operasi di kawasan itu tanpa pengetahuan kami.

“Perbincangan sudah diadakan sejak 2016 dengan beberapa siri bantahan dibuat berkenaan isu ini tetapi masih tiada pengakhiran. Kami juga mengumpulkan 250 tanda tangan daripada peniaga di kawasan BMC dan menghantarnya kepada Ahli Majlis,” katanya.

Pada 26 Disember lalu, persatuan itu mengadakan protes ketiga berkaitan isu terbabit di Jalan Temenggung 7/9 dengan dua lagi protes diadakan, pada Februari dan April 2016.

Ee berkata, mereka membuat bantahan itu kerana penjaja yang beroperasi sejak enam bulan lalu menjejaskan perniagaan premis berhampiran selain menganggu kelancaran lalu lintas.

“Selain itu, kami dimaklumkan, penjaja haram berkenaan akan dipindahkan ke tapak lain. Bagaimanapun, tiada seorang daripada penjaja itu berpindah ke sana.

“Pada tahun lalu, kami juga diberitahu ia akan menjadi zon trak makanan dengan vendor yang beroperasi tidak lebih dari enam jam dan selepas itu akan digunakan sebagai tempat letak kereta,” katanya sambil menambah idea itu disarankan dua Ahli Majlis, pada 2014.

Difahamkan, tapak berkenaan kini digunakan oleh penjaja bermusim menyebabkan berlaku kekeliruan di antara persatuan peniaga itu dan MPKj.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan MPKj dan dua Ahli Majlis berkenaan serius menyelesaikan masalah terbabit, sekali gus menjalankan kajian terhadap kesan kepada cadangan membenarkan penjaja beroperasi di tapak laman niaga berkenaan.

Terdahulu, satu siri perbincangan awam antara Ahli Majlis MPKj serta wakil peniaga dan persatuan berkenaan diadakan semalam, namun belum ada keputusan dibuat.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Razaly Hassan ketika ditemui media berkata, perbincangan yang diadakan mendapat respon positif daripada ahli Majlis dan wakil peniaga.

“MPKj belum mempunyai keputusan, namun kita akan adakan pertemuan semula dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu ini dengan segera,” katanya.