Categories
SELANGOR

32 suspek salahguna dadah ditahan operasi bersepadu AADK

OLEH HAFIZAN TAIB

SEMENYIH, 20 DIS: Seramai 32 suspek ditahan dalam operasi bersepadu pencegahan penyalahgunaan dadah dilancarkan di Hulu Langat, di sini, hari ini.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Dato’ Zulkefli Khalid, berkata ia adalah operasi program Generasi Idaman Selangor (GeMS) digerakkan bersama beberapa agensi kerajaan berjaya memberkas suspek di lokasi sasaran di daerah itu.

“Kita menahan 32 suspek iaitu 24 di lokasi pertama manakala lapan lagi di lokasi kedua seperti mana disasarkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati positif dadah dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media selepas operasi di sini, hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 31 adalah rakyat tempatan manakala seorang warga Rohingya.

Operasi dijalankan Pejabat Daerah Hulu Langat itu disertai kira-kira 100 penguatkuasa daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat, Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Imigresen Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan lain-lain.

Zulkefli berkata, operasi GeMS digerakkan itu adalah yang ketiga dan pertama berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Dua operasi sebelum ini pada Ogos lalu menumpukan kepada anti zina di Hotel Bajet dan rumah urut sekitar Hulu Langat.

“Objektif program bagi melahirkan generasi muda Selangor yang berkualiti dan berakhlak mulia melalui pelaksanaan cara hidup sihat,” katanya.

=EZY=