Categories
SELANGOR

4 maut dalam kebakaran rumah di Sepang

SEPANG 13 DIS: Dua warga emas dan dua kanak-kanak lelaki maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Sepang kira-kira jam 6 pagi tadi.

Mangsa yang dikenalpasti adalah Lim Mai Shak, 68; Chia Tee Nang, 73 dan Chia Yuan Bin, tiga tahun manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun belum dikenalpasti, lapor BH ONLINE.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya mendapat panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.08 pagi, dan 15 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah berkeluasan 7.4 x 7.4 meter persegi musnah sepenuhnya.

“Empat mangsa ditemui selepas api berjaya dipadamkan,” katanya.

Mohd Sani berkata, mangsa pertama ditemui jam 6.43 pagi, kedua pada jam 6.47 pagi manakala mangsa ketiga dan keempat ditemui pada jam 6.58 pagi.

=EZY=