Categories
SELANGOR

AADK Hulu Langat giat tangani masalah dadah

OLEH HAFIZAN TAIB

SEMENYIH, 20 DIS: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat akan menjalankan operasi secara lebih meluas di daerah itu, tahun depan, bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat.

Ketua Pegawai AADK Hulu Langat, Muhamad Ramlan Syed Ahamad, berkata pihaknya mengenal pasti empat kawasan berisiko di situ dan langkah susulan dirancang bagi tujuan berkenaan.

“Empat kawasan itu ialah Kajang, Semenyih, Batu 9 Cheras dan Bangi di mana satu operasi telah kita jalankan di Kajang pada tahun ini manakala kawasan selebihnya pada tahun depan.

“Apabila AADK meluaskan operasi di kawasan sasaran maka kita merasakan lebih 1,000 suspek atau penagih dadah akan dicatat di sini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Ramlan berkata demikian selepas operasi bersepadu pencegahan penyalahgunaan dadah Hulu Langat bersama Pejabat Daerah Hulu Langat dan beberapa agensi kerajaan lain.

Beliau berkata, setakat ini seramai 955 penagih dadah berdaftar dengan AADK Hulu Langat dan kini mereka menjalani proses pemulihan bersama agensi berkenaan.

Katanya, AADK menjalankan beberapa program bagi tujuan itu dan memberi tempoh dua tahun untuk mereka kembali pulih seperti sedia kala.

“Proses pemulihan ini dijalankan berterusan selama lebih kurang dua tahun bagi mencapai tujuan ditetapkan,” katanya.

Dalam operasi di daerah itu hari ini, AADK disertai anggotanya dari Speacial Tactical Response & Investigation Key Enforcers (STRIKE) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pasukan Khas AADK Hulu Langat dan Selangor.

=EZY=