Categories
SELANGOR SENI

Pelukis cetus ilham hasil karya selepas pemergian bapa

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 21 DIS: Pemergian arwah bapa, pada Ramadan lalu mencipta ilham kepada Muhammad Syafiq Ahmad menghasilkan lukisan yang berjaya mencuri tumpuan juri untuk menerima Anugerah Insentif, di Pameran Terbuka 2017, pada 19 Disember lalu.

Muhammad Syafiq, 26, menghasilkan karya ‘Diri Ini Teguh Berdiri Menggenggam Impian’ menggunakan pastel minyak atas bod tidak menyangka penyertaannya, pada kali pertama ini mendapat perhatian juri.

“Bapa saya meninggal dunia, pada Jun lalu dan bagi mengubati kesedihan serta kerinduan saya padanya, tiba-tiba saya mendapat idea untuk menghasilkan karya yang berjaya disiapkan dalam tempoh sebulan setengah.

“Pemergian bapa menjadi pendorong dalam menghasilkan karya ini kerana ia menggambarkan kisah hidup pelukis yang ada turun naiknya dan sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan hidup saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima Anugerah Insentif, di Galeri Shah Alam, di sini.

Muhammad Syafiq yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Halus), Universiti Teknologi Mara (UiTM), juga berhasrat menceburi pelbagai bidang berkaitan seni dan merancang untuk membuka galeri, pada masa hadapan.

“Ia adalah perancangan, pada saya masa hadapan untuk saya mahu mencungkil lagi bakat seni,” katanya.

Selain Muhammad Syafiq, empat lagi pengkarya lain adalah Suhaimi Sabli dengan karyanya ‘Kuang Raya’, Hanafiah Waiman (Obsession), Mohamad Sazri Russalan Zulkenan (Kehilangan IV) dan Mohd Fouzi Mohd Aini (Menumpang Seri).

Setiap penerima membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 dan sijil penyertaan.

Anugerah Insentif diperkenalkan, pada 1994 oleh Allahyarham Ahmad Khalid Dato’ Yusof, iaitu satu galakan dan insentif kepada semua pengkarya yang menghasilkan karya terbaharu dan luar biasa dari kaca mata juri, pada setiap tahun di pameran terbuka.

Lima pengkarya ditetapkan untuk menerima anugerah itu dan berubah mengikut keputusan ahli panel juri menentukan jumlah difikirkan layak bagi pemberian anugerah berkenaan.