Categories
PBT SELANGOR

MPAJ bakal bertindak tapak MITS lokasi sampah haram

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan mengambil tindakan segera mengatasi masalah sebuah tapak Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS), di Pandan Indah yang dijadikan tempat pelupusan sampah haram.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain sudah dimaklumkan berkenaan perkara itu dan tindakan susulan akan dilakukan Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan.

“Tindakan segera perlu memandangkan tapak terbabit beberapa ratus meter dari Menara MPAJ dan ia akan memberi persepsi seolah tiada kawalan ke atas tindakan membuang sampah.

“Bagaimanapun, satu tindakan akan menyusul,” katanya dalam kenyataan.

Iskndar berkata, perkara itu berdasarkan aduan orang ramai yang memaklumkan tapak MITS dijadikan tempat pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tapak MITS itu adalah antara Masjid Al-Azim dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Pandan Indah, di Jalan Pandan Mewah, Pandan Indah.

“Kontraktor baru sahaja dilantik dan kerja pembinaan akan dimulakan sebelum akhir tahun ini dan dijangka siap, pada akhir 2019.

“MITS ini dijangka beroperasi, pada Januari 2020,” katanya.