Categories
RENCANA SELANGOR

Alat kebesaran simbol kedaulatan raja dan negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

Bagi sebuah negeri yang bebas dan merdeka, kedaulatan raja serta negeri adalah satu elemen penting yang perlu dipelihara.

Kedaulatan ini bukan sahaja perlu dihormati, malahan harus dilindungi oleh semua golongan baik istana hingga rakyat jelata tanpa mengira kaum dan agama.

Di Selangor, istana adalah institusi yang sangat penting supaya kedaulatan raja dan negerinya terus terpelihara.

Selain kemakmurannya, kedaulatannya juga boleh dilihat melalui alat-alat kebesaran diraja yang penuh keunikan dan terjaga rapi sejak berzaman hingga hari ini.

Alat kebesaran yang dijaga dengan penuh tertib sejak berzaman lagi ini adalah sebahagian daripada simbol kedaulatan raja dan negeri Selangor Darul Ehsan bumi bertuah.

Sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor ke-72, SelangorKini akan mengongsikan alat-alat kebesaran diraja Selangor untuk tatapan pembaca.

Singgahsana lambang kebesaran kerajaan

Singgahsana adalah lambang kedaulatan dan kebesaran kerajaan sesebuah negeri, raja serta permaisuri dengan sultan akan bersemayam di atas singgahsana yang terletak di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Singgahsana yang digunakan bagi upacara rasmi seperti istiadat pertabalan dan kemahkotaan ini diperbuat daripada kayu cengal diukir dengan motif bunga tanjung pecah sembilan yang melambangkan sembilan daerah, di Selangor.

Singgahsana ini turut dilengkapi dengan sebuah mahkota yang diperbuat daripada kayu, sementara lapik bahagian atas diperbuat daripada baldu kuning diraja.

Singgahsana ini kali pertama digunakan pada istiadat Kemahkotaan dan Pertabalan Duli Yang Maha Mulia (DYMM)Sultan Sir Ala’eddin Suleiman Shah, pada 24 Oktober 1903.

Mahkota Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor 

Mahkota yang digunakan oleh DYMM Sultan Selangor hari ini menggantikan mahkota lama bernama ‘Mahkota Leleng’ yang keseluruhannya diperbuat daripada emas dan berasal dari tanah Bugis, di Sulawesi.

Mahkota Lelang ini diganti dan diubah suai atas nasihat seorang ulama, Tuan Sheikh Abdul Ghani ketika pemerintahan Sultan Muhammad (1826-1857).

Mahkota DYMM Sultan Selangor ini bertatah permata intan dan berlian dari Pontianak, Indonesia, serta delima asli yang diikat dengan emas sepuluh iaitu emas asli, dari Pahang.

Mahkota ini dipakai ketika Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan DYMM Sultan Selangor, Istiadat Pertabalan Tengku Ampuan Selangor, Istiadat Pertabalan Raja Muda, perayaan jubli perak dan jubli emas pemerintahan.

Mahkota DYMM Tengku Ampuan Selangor 

Mahkota bertatah berlian, batu delima merah dan diikat dengan emas tulen dipakai oleh DYMM Tengku Ampuan Selangor ketika Istiadat Kemahkotaan baginda dan juga istiadat pertabalan DYTM Raja Muda.

Keris Panjang Beruk Berayun 

Keris ini adalah keris panjang dan mempunyai Hulu Bali, sampir Madura dan matanya tidak berlok. Keris ini diperturunkan dari sultan ke sultan. DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah sultan yang pertama mengucup keris ini ketika istiadat permahsyuran baginda.

Keris Gading Diraja 

Keris Gading Diraja juga dikenali sebagai keris Gading Putih. Ia digunakan DYMM Sultan Selangor dalam beberapa upacaya rasmi kerajaan. Mata keris berlok lima ini diperbuat daripada besi purba.

Hulu keris diperbuat daripada gading diberi nama ‘Hulu Anak Ayam Teleng’ dalam kategori ‘Hulu Jawa Demam’. Sampirnya diperbuat daripada gading putih tertera lima bintang berbucu lima, manakala lambang peribadi DYMM Sultan Selangor tertera pada sarung keris. Hujung sarung keris dikenali sebagai ‘Bujur Sanggar’.

Keris Terapang Gabus 

Keris Terapang Gabus juga dikenali sebagai Keris Tetali Emas atau Keris Emas Pendek. Ia salah satu daripada alat kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan yang dipakai sultan ketika Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan.

Mata keris ini diperbuat daripada besi ‘Lela Pestaka’ yang dipercayai mempunyai tuah dan keistimewaannya tersendiri. Oleh kerana sarung keris ini diperbuat daripada gabus, maka ianya dipanggil sebagai ‘Keris Terapang Gabus’.

Manakala, gelaran ‘Keris Tetali Emas’ diberi kerana keris ini mempunyai tali bersalut emas dan hulunya ditatahkan dengan permata. Keris berlok tujuh ini mempunyai hujung sarungnya berbentuk mata kapak.

Tengkolok DYMM Sultan Selangor

Tenggkolok kuning bertatah tiara berlian ini digunakan DYMM Sultan Selangor ketika menghadiri Isitiadat Pertabalan dan Kemahkotaan, Istiadat Hari Keputeraan, Upacara Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, istiadat dalam Negeri Selangor dan istiadat-istiadat rasmi diraja di luar Negeri Selangor. Warna rasmi tengkolok bagi seorang Sultan ialah warna kuning.

Pending Emas Bertatah Berlian

Pending Emas Bertatah Berlian adalah satu peralatan yang diperlukan bagi melengkapkan sesuatu pakaian istiadat.

Pending ini dipakai buat pertama kalinya oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ketika Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan baginda dan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah sultan yang kedua memakai pending ini, pada istiadat sama.

Pada pending ini terdapat lambang peribadi DYMM Sultan Selangor bertatah berlian.

Payung Diraja 

Payung Diraja keseluruhannya berwarna kuning. Ia digunakan ketika istiadat yang dijalankan di luar istana bagi memayungi DYMM Sultan Selangor.

Terdapat lambang peribadi DYMM Sultan Selangor pada payung berkenaan, manakala DYMM Tengku Ampuan Selangor dan DYTM Raja Muda juga mempunyai payung peribadi sediri yang tertera lambang peribadi masing-masing.

Payung Isitiadat 

Payung Istiadat juga dikenali sebagai Payung Obor-obor Kuning. Ia tidak mempunyai sebarang lambang dan digunakan dalam beberapa istiadat diraja. Dalam perbarisan, Payung Istiadat dibawa oleh para jejawat yang diselangi dengan jejawat Lembing Istiadat dan Tombak Istiadat.

Terdapat juga payung isitiadat berwarna hijau yang digunakan ketika kemangkatan DYTM Raja Muda, manakala payung istiadat berwarna merah digunakan khas untuk istiadat yang sama untuk Orang Besar-Orang Besar dan Daerah.

Lembing Sembuana

Lembing Sembuana adalah lembing pusaka yang penting ketika Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan. Mata lembing ini dibuat daripada campuran Besi Khursani yang dikumpulkan dari sembilan buah daerah, di Selangor.

Lembing ini dipercayai mempunyai semangat yang kuat serta bertuah. Dalam beberapa istiadat diraja, lembing ini digunakan dalam upacara ikrar taat setia kepada raja dan Kerajaan Negeri.

Antara adat istiadat lain yang memerlukan Lembing Sembuana ini ialah ketika istiadat pemahsyuran sultan baru depan jenazah, Istiadat Perlantikan DYTM Raja Muda Selangor, DYTM Raja Puan Muda Selangor, perlantikan Orang Besar Istana, Orang Besar Daerah dan Dato’ Diraja Selangor.

Lembing dan Tombak Istiadat

Lembing dan Tombak Istiadat digunakan di dalam majlis-majlis istiadat istana. Di dalam perbarisan, para jejawat Lembing Istiadat ini akan diselangi dengan jejawat Payung Istiadat.

Keris Badik dan Sundang yang digunakan oleh Orang Mulia Anak Raja Berempat (sub)

Keris-keris kerajaan terdiri daripada Sundang Diraja, Badik Emas, Keris Pendek dan Keris Panjang Bersalut Emas.

Alat-alat kebesaran ini akan dibawa oleh Yang Mulia Anak Raja Berempat ketika Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan, Istiadat Menjunjung Duli dan Ulang Tahun Hari Keputeraan.

Nobat Diraja Selangor

Selangor adalah salah sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai peralatan nobat. Ianya terdiri daripada alat bunyi-bunyian tradisional yang dipalu untuk pelbagai upacara istiadat diraja seperti Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan serta Istiadat Perkahwinan Diraja.

Ahli-ahli dan pemain nobat mewarisi secara turun temurun dan dipanggil ‘Orang Kalau’ dan Ketua Nobat pula digelar ‘Setiakuna’.

Peralatan nobat Selangor yang digunakan dalam Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan baginda ialah sebuah nafiri, sebuah serunai, sebuah lengkara/mengkara/menggara dengan dua batang rotan penukul dan dua buah gendang dengan batang rotan penukul.

Paluan nobat dilakukan mengikut adat dan masa yang ditetapkan. Ianya dipalu dalam upacara khas dan setiap acara mempunyai lagu nobat tertentu.

Terdapat 16 lagu nobat di antaranya Nobat Tabal, Nobat Raja, Iskandar, Raja Berangkat, Ibrahim Khalilullah, Puteri Langan Mayang, Lenggang Cik Kobat, Dang Gendang, Kemang Kemali dan Jong Beralih.

Lambang Peribadi DYMM Sultan Selangor

Tulisan khat Selangor dibahagian atas dicipta dengan Lembing Sembuana ditengah-tengah membentuk puncak dan diapit oleh Keris Panjang Beruk Berayun di sebelah kiri, manakala di sebelah kanannya ialah Keris Terapang Gabus.

Bulan sabit dan bintang berbucu lima yang berwarna kuning diterapkan dengan penuh artistik pada lakaran berkenaan. Tulisan khat ‘Dipelihara Allah’ ditulis di bawah lakaran berkenaan. Reben kuning dengan tulisan ‘Selangor’ adalah dasar kepada reka bentuk lakaran di atas.

Bulan sabit berwarna kuning melengkapkan reka bentuk lambang peribadi baginda.

Bendera Peribadi DYMM Sultan Selangor

Bendera Peribadi DYMM Sultan Selangor dikibarkan pada setiap kenderaan rasmi yang baginda naiki. Ia juga dikibarkan di istana persemayaman baginda dan di majlis rasmi yang dihadiri baginda.

Bendera ini mempunyai latar belakang berwarna kuning, sementara bucu puncak sebelah kirinya terdapat warna merah.

Pada bendera itu terdapat bulan sabit juga sebutir bintang pecah lima berwarna putih sebagai simbol kepada keislaman dan kesucian.

Latar belakangnya terdapat warna kuning diraja serta diikuti lambang peribadi Sultan Selangor berwarna merah.

*Sumber/Kredit: buku Pertabalan & Kemahkotaan DYMM Sultan Selangor Ke-IX (2003)