Categories
RENCANA SELANGOR

Tengku Permaisuri Norashikin penyeri hati rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

KARISMA dan keayuan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sering mendapat perhatian ramai.

Kelibatnya di majlis rasmi atau aktiviti santai keluarga diraja sering mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang melihat baginda.

Malah, karakter baginda yang sangat merendah diri serta tidak lokek dengan senyuman disifatkan penyeri hati rakyat Selangor.

Mereka turut memuji kecantikan baginda yang disifatkan sebagai ‘natural beauty’ selain kesederhanaan dalam berpakaian yang menyerlahkan lagi kejelitaan Tengku Permaisuri Norashikin selaku kesayangan rakyat Selangor.

Mereka berpandangan, pesona dimiliki menyerlahkan lagi keluhuran hati dan keikhlasan baginda sebagai permata hati istana Selangor.

Menerusi laman Instagram Selangor Royal Official (@selangorroyalofficial) yang memuat naik foto rasmi kerabat diraja Selangor, netizen selalu memberikan pujian terhadap baginda.

Keayuan wajah dan kesederhaan imej dibawa baginda bukan sahaja memukau setiap mata, malahan semua yang memandang pasti terpegun.

Sering tampil menggayakan busana menarik di setiap majlis, netizen memuji cara Tengku Permaisuri Norashikin berfesyen yang kelihatan ringkas dan elegan.

Begitu juga dengan kemesraan antara DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin turut mencuri tumpuan netizen.

Pasangan diraja itu disifatkan sebagai manis bersama dan didoakan supaya terus dilimpahi rahmat serta kekal bahagia juga terus memayungi rakyat negeri itu.

Pada 31 Ogos 2016, Sultan Sharafuddin selamat diijabkabulkan dengan Tengku Permaisuri Norashikin yang juga bekas personaliti televisyen, di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Tengku Permaisuri Norashikin pernah meraih anugerah Penyampai Berita TV Terbaik, di Anugerah Seri Angkasa 2005 (ASA2005).

Baginda berasal dari Kuala Lumpur dan anak bongsu daripada tiga beradik.

Sebelum bergelar pembaca berita di RTM, Tengku Permaisuri Norashikin pernah bertugas sebagai pramugari di syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).