Categories
SENI

Artis popular bersolidariti untuk Jibam terus ‘heret tin-tinnya’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 DIS: Kartunis terkenal, Ujang sedikit lega apabila filem adaptasi novel karyanya, Jibam diteruskan tayangannya di 16 pawagam terpilih.

Ia apabila masyarakat penggiat seni termasuk beberapa artis terkenal seperti M.Nasir, Ayda Jebat dan lain-lain bersolidariti membantu meningkatkan kutipan filem arahan Che Mie itu.

Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon berkata, sebelum ini filem Jibam yang ditayangkan di 89 pawagam sejak 7 Disember lalu hampir dihentikan tayangannya akibat mendapat kurang sambutan orang ramai.

“Perkembangan terkini ramai artis turun ke pawagam di Quail Mall untuk menyokong filem Jibam antaranya M. Nasir dan lain-lain.

“Setakat petang (semalam) dengan sokongan semua yang ada, 16 pawagam setuju meneruskan tayangan Jibam atas permintaan ramai,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Jelasnya, beliau dan Che Mie turut turut menggandakan promosi dengan turun ke beberapa panggung yang masih menayangkan filem ini.

Katanya, beliau berharap supaya orang ramai terus memberikan sokongan terhadap filem yang diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu.

Sementara itu, Ujang pada status facebooknya menulis, sokongan orang ramai memberi sedikit peluang kepada Jibam untuk terus melangkah mengheret tin-tin susunya hingga minggu kedua.

“Alhamdulillah. Terima kasih rakan-rakan artis , rakan-rakan facebook, peminat-peminat Jibam dan anda semua yang bersolidariti untuk Jibam sejak semalam.

“Akhirnya ada sedikit ruang untuk JIBAM terus melangkah mengheret tin-tin susunya hingga ke minggu kedua,” tulisnya.