Categories
SELANGOR SENI

Gayour: Jibam lebih dekat dengan kita daripada Star Wars

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 DIS: Walaupun sambutan suram pada minggu pertama tayangannya, filem Jibam terus melangkah ke minggu ketiga ekoran meningkatnya sambutan terhadap filem yang diadaptasi daripada novel karya kartunis terkenal Ujang.

Seorang lagi kartunis terkenal, Gayour atau nama sebenarnya Mazli Ibrahim, berkata, peminat filem tempatan wajar memberikan sokongan kepada filem terbabit ekoran filem itu memaparkan realiti kehidupan sebenar masyarakat tempatan berbanding filem keluaran Hollywood.

“Dari Novel ke ‘live action’. Tak ada sebab untuk rakyat Malaysia tidak menonton filem Jibam yang lebih dekat dengan budaya kita daripada Avengers, Justice League atau Star Wars,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini.

Jelasnya, beliau turut menggesa pencinta seni tempatan supaya memberikan sokongan terhadap filem Jibam dan tidak hanya menumpukan filem antarabangsa sahaja.

Katanya, dengan sokongan orang ramai, tidak mustahil tayangan filem Jibam mampu bertahan lebih lama di pawagam.

Filem Jibam mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 7 Disember lalu dan berjaya bertahan sehingga ke minggu ketiga tayangannya.

Filem itu turut mendapat sokongan penggiat seni tempatan seperti M. Nasir, Ayda Jebat dan ramai lagi.

=EZY=

Categories
NASIONAL SENI

Sambutan baik, pawagam tayang filem Jibam bertambah semula

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 DIS: Filem Jibam yang diadaptasi daripada novel karya kartunis terkenal Ujang, yang pada minggu pertama tayangannya kurang mendapat sambutan kini mula mendapat tempat di kalangan peminat filem Melayu.

Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon, berkata, sehingga kini sebanyak 19 pawagam menayangkan filem arahan Che Mie berbanding hanya 16 pawagam sahaja yang bersetuju menerukan tayangan Jibam untuk minggu kedua sebelum ini.

“Dengan jumlah penonton yang semakin bertambah dari hari ke hari, khabarnya sudah ada pawagam yang menghentikan tayangan hari itu kini kembali menayangkan Jibam dengan 16 tambah dua tambah satu (kelmarin) dan kami berharap ia akan terus bertambah dengan sokongan anda rakyat Malaysia,” tulis Ujang pada status laman sosial facebooknya.

Sebelum itu, filem Ujang yang mula ditayangkan pada 7 Disember lalu di 89 pawagam, hampir dihentikan tayangannya apabila didapati gagal menarik perhatian peminat filem Melayu.

Akibat sambutan yang kurang memberangsangkan itu, hanya 16 pawagam sahaja bersetuju meneruskan tayangan bagi minggu kedua.

Bagaimanapun jualan tiket selepas itu kembali meningkat apabila beberapa rakan artis seperti M.Nasir, Ayda Jebat dan nitizen di facebook bersolidariti membantu mempromosi filem itu.

=EZY=

Categories
SENI

Artis popular bersolidariti untuk Jibam terus ‘heret tin-tinnya’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 DIS: Kartunis terkenal, Ujang sedikit lega apabila filem adaptasi novel karyanya, Jibam diteruskan tayangannya di 16 pawagam terpilih.

Ia apabila masyarakat penggiat seni termasuk beberapa artis terkenal seperti M.Nasir, Ayda Jebat dan lain-lain bersolidariti membantu meningkatkan kutipan filem arahan Che Mie itu.

Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon berkata, sebelum ini filem Jibam yang ditayangkan di 89 pawagam sejak 7 Disember lalu hampir dihentikan tayangannya akibat mendapat kurang sambutan orang ramai.

“Perkembangan terkini ramai artis turun ke pawagam di Quail Mall untuk menyokong filem Jibam antaranya M. Nasir dan lain-lain.

“Setakat petang (semalam) dengan sokongan semua yang ada, 16 pawagam setuju meneruskan tayangan Jibam atas permintaan ramai,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Jelasnya, beliau dan Che Mie turut turut menggandakan promosi dengan turun ke beberapa panggung yang masih menayangkan filem ini.

Katanya, beliau berharap supaya orang ramai terus memberikan sokongan terhadap filem yang diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu.

Sementara itu, Ujang pada status facebooknya menulis, sokongan orang ramai memberi sedikit peluang kepada Jibam untuk terus melangkah mengheret tin-tin susunya hingga minggu kedua.

“Alhamdulillah. Terima kasih rakan-rakan artis , rakan-rakan facebook, peminat-peminat Jibam dan anda semua yang bersolidariti untuk Jibam sejak semalam.

“Akhirnya ada sedikit ruang untuk JIBAM terus melangkah mengheret tin-tin susunya hingga ke minggu kedua,” tulisnya.