Categories
NASIONAL

Banjir Kelantan: Mangsa meningkat, 20 jalan ditutup

OLEH SHEEDA FATHIL

KELANTAN, 1 DIS : Susulan banjir di Kelantan, mangsa dilaporkan meningkat kepada 14,430 daripada 5,724 keluarga kini ditempatkan di 66 pusat pemindahan di negeri itu.

Berdasarkan portal eBanjir, hanya di daerah Gua Musang terdapat pertambahan pusat pemindahan setakat jam 8 pagi tadi.

Memetik laporan Bernama, Sungai Golok di Rantau Panjang masih lagi mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu 10.30 (bahaya 9.00), manakala empat sungai lain iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Sungai Golok di Jenob berada di paras berjaga-jaga.

Sementara itu, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tambatan Diraja dan Sungai Semerak di Pasir Puteh, masing-masing berada di paras normal.

Bernama melaporkan, lebih 20 jalan utama dan pesisir kampung ditutup untuk sebarang laluan dan yang terkini adalah di Jalan Gua Musang -Jelawang-Dabong, Jalan Kampung Kerinting -Gua Musang dan Jalan Kampung Pulai/Kuala Tuang. Ketiga-tiga jalan terbabit tidak boleh dilalui selepas Gua Musang dilanda hujan tanpa henti, semalam.

Manakala jalan lain yang masih tidak boleh dilalui ialah Jalan Kok Lanas- Selising, Jalan Pengkalan Rakit- Batu Karang, Pasir Mas- Pohon Tanjung, BY PASS Banggol, Jalan Banggol Kulim Rantau Panjang, Jalan Panglima Bayu – Jeram Perdah, Jalan Dalam Rantau Panjang, Jalan Cabang 4/ Kampung Jambu- Meranti dan beberapa kawasan lagi.