Categories
KENYATAAN MEDIA

Takut Anwar bebas, fitnah baru terus direka

OLEH ADRIAN LIM CHEE EN

Pembentangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kerugian Forex BNM hari ini merupakan langkah terdesak pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan Anwar Ibrahim kekal di penjara.

Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditahan sebagai tahanan politik bermula 10hb Februari 2015 bakal dibebaskan pada 10 Jun 2018, berdasarkan kebiasaan di mana tahanan hanya menjalani 2/3 dari tempoh hukuman sekiranya mereka berkelakuan baik.

Namun, mandat Datuk Seri Najib Razak serta UMNO-BN hanya akan luput pada bulan Ogos 2018.

Dalam erti kata lain, jika PRU ke-14 tidak diadakan sebelum Jun 2018, Najib terpaksa berdepan dengan gelombang keghairahan yang diperbaharui melalui pembebasan Anwar.

Maka dalam usaha memastikan skandal 1MDB dielakkan, sengsara kos sara hidup rakyat dilupakan serta Datuk Seri Anwar Ibrahim terus dipenjarakan, sebuah fitnah baru harus direka bagi mengekalkan kuasa politik.

Agak aneh, bagaimana sebuah laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang telah dihantar kepada Yang diPertuan Agong lebih sebulan setengah yang lalu, tidak dibentangkan dalam Parlimen selama ini.

Laporan tersebut hanya dibawa ke Dewan Rakyat pada hari terakhir sidang Dewan sesi ini.

Yang paling mengejutkan, permintaan ahli-ahli Parlimen untuk membentangkan laporan tersebut ditolak.

Agak jelas, seluruh proses siasatan ini hanya sandiwara bagi pentadbiran Datuk Seri Najib Razak serta UMNO/BN untuk terus “bulldoze” skrip politik mereka demi mengekalkan kedudukan.

Sepatutnya jika Najib prihatin terhadap rakyat serta yakin dengan kewibawaannya memimpin Malaysia secara adil dan berintegriti, sebuah siasatan bebas terhadap skandal 1MDB harus dijalankan tanpa mana-mana pegawai kerajaan dipecat.

Anwar, seorang tahanan politik yang diperakui seluruh dunia termasuk badan-badan bukan kerajaan antarabangsa, organisasi-organisasi ahli-ahli Parlimen dari seluruh dunia, juga harus dibebaskan serta merta.

Wahai Datuk Seri Najib Razak, bersainglah secara matang dan adil.

* Adrian Lim Chee En adalah Pengerusi kempen #BebasAnwar