Categories
GLOBAL

Bantahan merebak, Zionis tembak mati warga Palestin, ramai cedera

BAITULMAQDIS/GAZA 9 DIS: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dalam pertembungan dengan tentera semalam apabila ribuan warga Palestin menunjuk perasaan membantah tindakan Presiden AS Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Presiden Palestin mengisytiharkan Washington bukan lagi broker perdamaian.
Di serata dunia Arab dan Islam, ribuan lagi penunjuk perasaan berarak di jalan raya pada Jumaat, menyuarakan solidariti dengan warga Palestin dan kemarahan terhadap tindakan Trump menterbalikkan dasar Amerika Syarikat yang berdekad lama.

Askar Israel menembak mati seorang lelaki warga Palestin berhampiran sempadan Gaza, individu pertama yang disahkan maut dalam kekacauan selama 2 hari. Puluhan lagi cedera dalam tunjuk perasaan itu.

Tentera Israel berkata ratusan warga Palestin membawa tayar berapi dan membaling batu ke arah askar di seberang sempadan.

“Semasa rusuhan askar Israel melepaskan tembakan secara terpilih terhadap 2 pemula dan sasaran disahkan kena,” katanya.

Lebih 80 warga Palestin tercedera di Tebing Barat dan Gaza akibat tembakan peluru hidup dan peluru getah oleh tentera Israel, menurut perkhidmatan ambulan Sabit Merah Palestin. Puluhan lagi menderita terhidu gas pemedih mata. Tiga puluh satu orang tercedera pada Khamis.

Sejurus tamatnya solat Jumaat di Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis, ahli jemaah berarak ke gerbang Kota Lama sambil melaungkan “Baitulmaqdis milik kami, Baitulmaqdis ibu negara kami” dan “Kami tidak perlukan kata-kata, kami mahu batu dan Kalashnikov (raifal tempur). Pergaduhan tercetus antara penunjuk perasaan dan polis.

Di Hebron, Baitulaham dan Nablus, puluhan warga Palestin membaling batu ke arah askar Israel yang membalas dengan gas pemedih mata.

Di Gaza, yang dikawal kumpulan Islamis Hamas, seruan menyeru ahli jemaah menunjuk perasaan kedengaran melalui pembesar suara masjid. Hamas menyeru kebangkitan baharu seperti “intifada” 1987-1993 dan 2000-2005, yang menyaksikan ribuan warga Palestin dan lebih 1,000 rakyat Israel terbunuh.

“Negara yang memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis akan menjadi musuh rakyat Palestin dan sasaran kumpulan Palestin,” kata pemimpin Hamas Fathy Hammad ketika penunjuk perasaan membakar poster Trump di Gaza.

“Kami mengisytiharkan intifada sehingga Baitulmaqdis dan semua rakyat Palestin dibebaskan.”

Penunjuk perasaan berkurangan menjelang malam. Siren amaran roket kedengaran di pekan-pekan di selatan Israel berdekatan sempadan Gaza dan tentera Israel berkata mereka berjaya memintas 2 roket yang dilancarkan dari Gaza. Tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan.

Briged Syahid Al Aqsa, kumpulan militan yang dikaitkan dengan parti Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Fatah, dikatakan bertanggungjawab melancarkan salah satu roket itu, sebagai bantahan kepada keputusan Trump.

Penduduk di Gaza terdengar letupan berdekatan sempadan selepas roket dilancarkan dan media Hamas berkata kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah kedudukan militan. Tentera Israel berkata mereka tidak tahu akan kejadian itu, di mana tiada kecederaan dilaporkan.

SUMBER: REUTERS