Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Baitulmaqdis perlu kekal seperti sedia ada- Dr Mahathir

BANGKOK, 16 DIS: Baitulmuqaddis harus kekal seperti sedia ada dan mana-mana negara tidak berhak untuk memutuskan ia harus menjadi ibu negara Israel atau dibahagikan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“ Australia juga mahu membahagikan Baitulmuqaddis kepada Baitulmuqaddis Barat sebagai ibu negara Israel dan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota Palestin…semua ini hanya akan meningkatkan kemarahan,” katanya selepas menerima ijazah doktor kehormat kepimpinan sosial, perniagaan dan politik daripada Universiti Rangsit di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai menjawab soalan pewarta Reuters di Bangkok berhubung keputusan Australia mengiktiraf Baitulmuqaddis Barat sebagai ibu negara Israel.

Bagaimanapun, negara itu tidak akan memindahkan kedutaannya ke sana sehingga perjanjian damai dicapai antara Palestin dan Israel.

Semasa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Singapura, bulan lalu, Dr Mahathir menzahirkan kebimbangannya dengan rakan sejawatan dari Australia, Jim Morrison, terhadap hasrat negara itu mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

“Kami perhatikan perkatakan yang digunakan disusun dengan sangat teliti. Namun, pada pandangan kebanyakan negara Arab, semua ini bukan sesuatu yang mereka boleh terima,” katanya.

Beliau berkata Baitulmuqaddis sentiasa berada di bawah Palestin dan mempersoalkan mengapa mereka mengambil usaha untuk membahagikan kota suci itu.

“Mereka tidak berhak…ia bukan milik mereka,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Palestin selar Australia iktiraf Baitulmaqdis ibu negara Israel

RAMALLAH 16 DIS: Kepimpinan Palestin, semalam, menyifatkan tindakan Australia mengiktiraf barat Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sebagai ‘tidak bertanggungjawab’ sambil menyatakan bahawa ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Negara itu menjadi salah satu daripada sebilangan kecil negara yang mengikut jejak langkah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Australia berkat, ia akan membuka sebuah pejabat pertahanan dan perdagangan di barat bandar itu dan Perdana Menteri, Scott Morrison juga komited mengiktiraf negara Palestin pada masa depan dengan timur Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

Kedua-dua warga Israel dan penduduk Palestin mendakwa Baitulmaqdis sebagai ibu negara masing-masing.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Tentera zionis serbu Masjid Aqsa

BAITULMAQDIS 28 JUL: Tentera zionis merempuh masuk ke Masjid Aqsa, lokasi suci ketiga Islam, dan melakukan tangkapan semalam dalam apa yang disifatkan polis sebagai memburu belia yang membaling batu dan mercun ketika pertempuran dengan tentera Zionis di perkarangan masjid berkenaan.

Serbuan itu, di lokasi yang menjadi ikon negara merdeka Palestin dan tumpuan konflik dengan rejim Israel, dibuat ketika pasukan perubatan di Gaza berkata tentera Israel menembak mati seorang lelaki Palestin.

 

Jurucakap polis berkata, tentera dikerah ke Al-Aqsa selepas suspek yang menyembunyikan diri di dalamnya selepas melancarkan konfrontasi di sekitar masjid berkenaan, menyaksikan lelaki bertopeng membaling mercun.

Tiada sebarang keganasan di dalam masjid, dan jemaah lelaki warga tua dibenarkan keluar selepas diperiksa.

Saksi kemudian berkata kira-kira 20 lelaki muda ditahan polis, dan solat kemudian disambung.

Polis berkata, 24 ditahan, dan empat daripada pegawainya cedera.

Pihak berkuasa Islam berkata, puluhan cedera disebabkan bom tangan pegun polis Israel.

“Serangan berterusan Israel terhadap Baitulmaqdis akan meningkatkan ketegangan dan membawa rantau itu ke dalam perang agama yang sudah lama kami keluarkan amaran mengenainya,” kata pejabat Presiden Mahmoud Abbas dalam kenyataan. –

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Bumi Palestin terus tegang

BANDAR RAYA GAZA 31 DIS: Seorang penduduk terbunuh, manakala sekurang-kurangnya 56 yang lain cedera terkena tembakan tentera Israel di Tebing Barat dan Gaza kelmarin ketika mereka melakukan protes menentang pengisytiharan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Jamal Muslih, 20, dari kem pelarian Al-Bureij di tengah Gaza meninggal dunia selepas cedera parah terkena tembakan peluru hidup kelmarin, kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Selain tembakan peluru hidup, tentera Israel turut menyerang Semenanjung Gaza menggunakan kereta kebal dan serangan udara selepas roket dari wilayah Palestin menyasarkan selatan kawasan Zionis, kata sumber tentera dan penduduk Palestin.

Ashraf berkata, tentera Is­­rael melepaskan temba­kan di beberapa bahagian wilayah tepi pantai itu, mencederakan 40 orang dengan empat daripadanya parah.

Tentera Israel berkata, 2,000 penunjuk perasaan membaling batu dan bom botol ke arah askar di sempadan Israel dengan wilayah Palestin.

Di Tebing Barat, Kementerian Kesihatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 16 orang cedera apabila tentera Israel melepaskan lima tembakan peluru hidup ketika bantahan semasa demonstrasi, manakala yang lain terkena peluru getah.

Tentera Israel berkata, kira-kira 500 penunjuk perasaan membakar tayar dan membaling bom botol serta batu ke arah anggotanya di 30 kawasan berbeza di Tebing Barat.

Israel turut melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza selepas tentera Palestin melancarkan tiga roket di selatan Israel, dua daripadanya dipintas sistem pertahanan udara Iron Dome, kata tentera.

SUMBER: AFP

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Sesi tergempar PBB Khamis ini bincang Baitulmaqdis

NEW YORK 20 DIS: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan sesi tergempar Khamis ini untuk mendapatkan undian bagi merangka resolusi menolak pengiktirafan dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke atas Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan sesi tergempar membabitkan 193 negara anggota itu diminta oleh Turki dan Yaman sebagai mewakili negara Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sesi tergempar berkenaan dimaklumkan Presiden Perhimpunan Agung PBB, Miroslav Lajcak kepada semua 193 delegasi menerusi surat yang dihantar lewat Isnin.

AS pada Isnin menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi berkenaan yang menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan Baitulmaqdis tidak memiliki sebarang kesan perundangan dan perlu dibatalkan.

Mesir sebelum ini telah menyerahkan draf resolusi yang mendapat sokongan 14 negara anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC) manakala duta Palestin, Riyad Mansour berkata, draf resolusi hampir sama akan diserahkan pada perhimpunan berkenaan dan berharap ia menerima sokongan luar jangkaan.

“Perhimpunan Agung ini tanpa rasa gentar kepada kuasa veto akan menyuarakan pendirian komuniti antarabangsa bahawa mereka menolak pendirian AS dalam isu ini,” katanya.

Tiada negara yang memegang kuasa veto dalam perhimpunan berkenaan, berlainan dengan UNSC yang menyaksikan Britain, China, Perancis, Russia dan AS mempunyai kuasa untuk menyekat sebarang resolusi.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Isu Baitul Maqdis: Himpunan bantahan di hadapan Kedutaan AS Jumaat ini

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 12 DIS: Pakatan Harapan akan menganjurkan himpunan bantahan di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) Jumaat ini sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin dan menyifatkan isu Baitul Maqdis bukan hanya isu umat Islam malah isu kemanusian sejagat.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kedegilan dan keangkuhan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel adalah satu pencabulan hak asasi manusia serta melanggar undang-undang antarabangsa dan ianya tidak boleh diterima.

“Bagi menegaskan lagi rasa kecewa dan penolakan Pakatan Harapan terhadap pengiktirafan yang angkuh itu, dan sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin yang terus dizalimi, maka Pakatan Harapan akan mengadakan satu himpunan bantahan di hadapan bangunan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat, 15 Disember ini.

“Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, termasuk parti-parti politik, NGO, NGI, pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia serta seluruh warga prihatin untuk turun bersama kami untuk menzahirkan bantahan,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN beliau berkata Pakatan Harapan telah pun menghantar memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat lalu sebagai bantahan awal terhadap pengumuman Trump ini.

Katanya, keputusan Trump itu jelas tidak membantu usaha damai konflik panjang di rantau Asia Barat khususnya di Palestin, sebaliknya lebih merumitkan lagi keadaan sekaligus menyalakan api kemarahan dan reaksi bantahan masyarakat dunia.

Menurutnya, sekalipun pengumuman Presiden Trump itu dilakukan demi survival politik beliau menjelang Pilihan Raya Separuh Penggal (Mid-Term Election) Amerika Syarikat, ia adalah suatu tindakan campur tangan ke atas Negara Arab yang melampaui batas.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OIC dan komuniti antarabangsa tidak pernah mengiktiraf pendudukan Israel di Jerusalem Timur selepas perang 1967 malah menggesa mereka berundur ke sempadan asal mereka pra-1967.

“Ia dikukuhkan lagi dengan Majlis Keselamatan PBB yang bersidang pada 23 Disember 2016 yang telah meluluskan Resolusi 2334 yang mengatakan pendudukan Israel ke atas Jerusalem Timur tidak sah.

“Tindakan AS ini telah pun dibantah oleh Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv,” katanya.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Najib usah beretorik dalam membantah AS

YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak perlu retorik dalam menzahirkan bantahan terhadap tindakan terbaru America untuk memindahkan Ibu Negara Israel dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis.

Sebaliknya Perdana Menteri perlu serius dalam menangani hal ini khususnya dalam menyuarakan bantahan rasmi kerana suara Kuala Lumpur adalah suara Islam rantau sejagat.

Satu tindakan komprehensif perlu dilakukan sebagai tanda Kuala Lumpur membantah keras tindakan Presiden America, Donuld Trump termasuk membatalkan hasrat Malaysia untuk membeli 25 buah pesawat boeing 737 dan membangunkan prasarana di Amerika melalui pelaburan KWSP yang dicadangkan pada 13 September lalu.

Saranan Ketua Pembangkang YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk memanggil sidang khas parlimen khusus bagi membincangkan isu terbaru melibatkan Baitul Maqdis ini dilihat sebagai satu langkah tepat dalam menzahirkan bantahan Kuala Lumpur terhadap Amerika.

Pembangkang dan Kerajaan perlu dilihat bersama dalam solidariti terhadap Palestin.

Jumaat lalu Pemuda Pakatan Harapan telah menyerahkan satu memorandum bantahan kepada kedutaan Amerika.

Sebagai lanjutan langkah itu, Kerajaan perlu memanggil duta besar Amerika ke Malaysia untuk memberi penjelasan sebagai salah satu langkah Kuala Lumpur memberikan isyarat bantahan kepada Amerika.

Justeru Perdana Menteri perlu dilihat bersungguh sungguh dalam menangani isu ini dan bukannya retorik dalam ucapan semata-mata tetapi tiada tindakan sewajarnya.

Solidariti umat islam seluruh dunia adalah perlu pada ketika ini untuk bersama mempertahankan kota suci Baitul Maqdis.

 

SYED BADLI SHAH B. SYED OSMAN

Pen. Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Nasional

Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Selangor

Categories
GLOBAL

Trump orang tua nyanyuk: Pyongyang

SEOUL 9 DIS: Korea Utara memberi gelaran ‘orang tua nyanyuk’ kepada Presiden, Donald Trump berhubung tindakannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Menurut media tempatan, gelaran itu menambah koleksi kata ejekan terhadap Presiden Amerika Syarikat itu.

Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un saling berbalas serangan lisan dan peribadi, sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan ketegangan semakin memuncak selepas ancaman peluru berpandu dan nuklear oleh Pyongyang.

Negara komunis itu turut menyertai kecaman antarabangsa yang tidak bersetuju keputusan Trump berhubung Baitulmaqdis, malah menyelar presiden AS itu sebagai ‘licik dan jahat’.

“Orang tua nyanyuk itu secara terang-terangan melakukan kemusnahan kepada sebuah negara berdaulat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Bagi mereka yang mengenalinya, ia tidaklah mengejutkan sangat.

“Tindakannya itu jelas menunjukkan siapa sebenarnya yang cuba menghancurkan dunia, membunuh keamanan dan keamanan selain layak dipanggil penyangak antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Luar yang dipetik agensi berita KCNA.

Pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang diumumkan Trump pada Rabu lalu disusuli rancangan memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv bukan sahaja mengundang kemarahan dunia Islam tetapi turut menerima bantahan dan kritikan sekutu Washington.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL KENYATAAN MEDIA

Agenda Zionis Israel mulakan Perang Dunia ke-3?

Oleh Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob

Pengumuman oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada jam 2 pagi waktu Malaysia pada 7hb Disember 2017 iaitu Juruselam atau Baitul Maqdis sebagai ibunegara Israel adalah satu keputusan yang menggamamkan seluruh kuasa politik dunia.

Presiden Donald Trump adalah satu satunya Presiden Amerika yang benar benar tunduk kepada telunjuk Zionis Yahudi Israel dan mengotakan janjinya dalam pilihanaraya Presiden Amerika yang lalu.

Sungguhnya menjadi tradisi mana-mana calon Presiden Amerika Syarikat pasti perlu mendapat sokongan masyarakat Yahudi yang mengawal ekonomi di Amerika untuk menjadi Presiden, namum tidak ramai Presiden Amerika yang seberani Trump dalam mengotakan dan mengabui mata Yahudi dan Zionism Israel.

Ini kerana Trump mengetahui bahawa kedudukannya sebagai Presiden Amerika sangat getir apabila rakyatnya sendiri sehingga hari ini masih berdemonstasi dan berhimpun membantah dia sebagai Presiden Amerika.
Hatta ahli ahli Kongres dan Senat pun tidak sebulat suara bersamanya dalam apa jua keputusan berbanding Presiden – Presiden Amerika sebelum ini yang mendapat sokongan rakyat dan ahli Kongress dan Senat sesudah tamat pilihanraya Presiden, yakni rakyat akur akan keputusan pilihanraya Presiden. Ini tidak terjadi kepada Trump.

Maka Trump melihat dari kacamata yang lebih besar iaitu kacamata ekonomi. Cuba membeli rakyat dan pemimpin parti-parti di negara nya dengan cuba membaiki dan meningkatkan ekonomi negaranya.

Bagaimana ? dengan ‘mengikat hati’ masyarakat Yahudi yang mengawal ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah. Ekonomi Amerika yang dikawal oleh masyarakat Yahudi ini adalah merupakan ‘open secret’ masyarakat dunia. Syarikat-syarikat kongelemerat dan gergasi di Amerika kebanyakan adalah dikuasai oleh orang Yahudi.

Maka sudah pasti dengan keputusan Trump ini akan menggembirakan orang-orang Yahudi Amerika dan dunia amnya. Maka pelaburan mereka terhadap Trump ketika kempen pilihanraya Presiden Amerika tempohari dianggap berbaloi dan Trump adalah seorang presiden Amerika yang boleh dipercayai dan diyakini oleh masyarakat Yahudi Amerika.

Dan setelah Trump mengotakan janjinya dahulu, sudah pasti korporat korparat Yahudi akan terus membantu dan melabur ke dasar dasar Trump dalam mentadbir Amerika terutamanya dari sudut ekonomi dimana Amerika semakin ketinggalan berbanding China.

 

Trump juga dilihat berani untuk membuat satu pengumuman sedemikian apabila beliau sudah melihat negara-negara Arab semakin berpecah dan bertelingkah sesama mereka.

Kejayaan beliau mempengaruhi Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan UAE dalam mengepung dan mengugut dasar luar dan politik Qatar merupakan satu indikator besar di Timur Tengah.

7.Amerika juga berjaya menjadikan dirinya sebagai ‘guardian’ atau penjaga kepada negara-negara Arab terutamnya dari sudut pergantunggan keselamatan perlindungan ancaman politik, kepentingan ekonomi, mahupun dari segi aset sistem persenjataan. Kesepakatan AS-Arab sewaktu Riyadh Summit 2017 membuktikan hal ini sebagai kejayaan Trump.

Maka sudah pastinya negara negara Arab dan Islam akan sukar mendapat kesepakatan dalam isu pengistiharan Trump akan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel.

Israel yang bertepuk tangan bergembira dengan pengistiharan tersebut kerana mereka tidak perlu berdepan dengan umat Islam dan negara Islam dan bukan Islam kerana pengumuman itu dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat dan bukannya Perdana Menteri Israel.

Negara-nagara Arab dan Islam sudah pasti berhati-hati dalam berdepan Amerika yang banyak ‘mengikat’ mereka dengan ekonomi, pertahanan dan keselamatan. Begitulah liciknya Amerika.

9Begitu juga negara-negara blok Timur yang dipengaruhi China dan Rusia telah dikepung oleh Amerika dengan menjadikan Korea Utara sebagai sandaran bagi mengugut blok-blok timur ini.

Dasar Amerika yang dilihat agak terbuka menempelak Myanmar dalam isu Rohingya sebenarnya juga adalah strategi untuk mengekang blok Timur dari terus mengusai rantau Asia Tenggara ini sebagaisebuah kuasa ekonomi dan tentera.

Kemunculan Turki sebagai kuasa Eropah-Asia menjadikan Amerika dan zionis Israel semakin cemas. Ekonomi Turki yang mendadak naik serta keterikatan negara-negara Islam dan dunia ke tiga menjadikan Amerika semakin longgar dalam penguasaannya terdahap dunia ketiga.

Bantuan dana-dana pembangunan Kerajaan Erdogan ke negara-negara Islam menjadikan Turki semakin mendapat tempat di Asia dan Afrika.

Maka penyelesaian mudah bagi menangani kemelut ini adalah memulakan bibit Perang Dunia Ke Tiga yang sudah pasti kelihatan akan wujud tiga fraksi utama iaitu Fraksi Amerika Syarikat dan sekutu, Fraksi negara-negara Islam dibayangi Turki dan fraksi blok Timur dibayangi Rusia dan China.

Sekiranya persengketaan ini bermula, Amerika dan sekutu akan dapat menyekat dan menghancurkan negara-negara potensi ketenteraan seperti Turki dan Iran.

Amerika juga akan mengaut keuntungan apabila dunia merasa terancam dengan menjual persenjataannya kepada negara-negara dunia untuk persediaan keselamatan negara mereka.

Maka perangkap yang lontarkan oleh Zionis Israel melalui Trump sudah menampakkan hasilnya, hanya menunggu untuk di tuai, namum masih belum terlambat negara-negara Islam dan negara bersimpati untuk memberhentikan permainan ini dengan bukan sekadar bantahan dan demonstrasi tapi bersedia untuk membentuk pakatan ekonomi dan politik baru dengan mengeluarkan Amerika dari kepompong percaturan politik dan ekonomi dunia.

 

#Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim)

 

Categories
GLOBAL

Bantahan merebak, Zionis tembak mati warga Palestin, ramai cedera

BAITULMAQDIS/GAZA 9 DIS: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dalam pertembungan dengan tentera semalam apabila ribuan warga Palestin menunjuk perasaan membantah tindakan Presiden AS Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Presiden Palestin mengisytiharkan Washington bukan lagi broker perdamaian.
Di serata dunia Arab dan Islam, ribuan lagi penunjuk perasaan berarak di jalan raya pada Jumaat, menyuarakan solidariti dengan warga Palestin dan kemarahan terhadap tindakan Trump menterbalikkan dasar Amerika Syarikat yang berdekad lama.

Askar Israel menembak mati seorang lelaki warga Palestin berhampiran sempadan Gaza, individu pertama yang disahkan maut dalam kekacauan selama 2 hari. Puluhan lagi cedera dalam tunjuk perasaan itu.

Tentera Israel berkata ratusan warga Palestin membawa tayar berapi dan membaling batu ke arah askar di seberang sempadan.

“Semasa rusuhan askar Israel melepaskan tembakan secara terpilih terhadap 2 pemula dan sasaran disahkan kena,” katanya.

Lebih 80 warga Palestin tercedera di Tebing Barat dan Gaza akibat tembakan peluru hidup dan peluru getah oleh tentera Israel, menurut perkhidmatan ambulan Sabit Merah Palestin. Puluhan lagi menderita terhidu gas pemedih mata. Tiga puluh satu orang tercedera pada Khamis.

Sejurus tamatnya solat Jumaat di Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis, ahli jemaah berarak ke gerbang Kota Lama sambil melaungkan “Baitulmaqdis milik kami, Baitulmaqdis ibu negara kami” dan “Kami tidak perlukan kata-kata, kami mahu batu dan Kalashnikov (raifal tempur). Pergaduhan tercetus antara penunjuk perasaan dan polis.

Di Hebron, Baitulaham dan Nablus, puluhan warga Palestin membaling batu ke arah askar Israel yang membalas dengan gas pemedih mata.

Di Gaza, yang dikawal kumpulan Islamis Hamas, seruan menyeru ahli jemaah menunjuk perasaan kedengaran melalui pembesar suara masjid. Hamas menyeru kebangkitan baharu seperti “intifada” 1987-1993 dan 2000-2005, yang menyaksikan ribuan warga Palestin dan lebih 1,000 rakyat Israel terbunuh.

“Negara yang memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis akan menjadi musuh rakyat Palestin dan sasaran kumpulan Palestin,” kata pemimpin Hamas Fathy Hammad ketika penunjuk perasaan membakar poster Trump di Gaza.

“Kami mengisytiharkan intifada sehingga Baitulmaqdis dan semua rakyat Palestin dibebaskan.”

Penunjuk perasaan berkurangan menjelang malam. Siren amaran roket kedengaran di pekan-pekan di selatan Israel berdekatan sempadan Gaza dan tentera Israel berkata mereka berjaya memintas 2 roket yang dilancarkan dari Gaza. Tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan.

Briged Syahid Al Aqsa, kumpulan militan yang dikaitkan dengan parti Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Fatah, dikatakan bertanggungjawab melancarkan salah satu roket itu, sebagai bantahan kepada keputusan Trump.

Penduduk di Gaza terdengar letupan berdekatan sempadan selepas roket dilancarkan dan media Hamas berkata kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah kedudukan militan. Tentera Israel berkata mereka tidak tahu akan kejadian itu, di mana tiada kecederaan dilaporkan.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Umat Islam di AS bantah tindakan Trump

WASHINGTON 9 DIS: Ratusan umat Islam menunaikan solat Jumaat di hadapan bangunan Rumah Putih membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Kkebanyakan yang hadir menyahut seruan organisasi Islam Amerika, bertindak membentang sejadah di kawasan taman di hadapan kediaman Presiden.

Kebanyakan penunjuk perasaan memakai selendang ‘keffiyeh’ bercorak bendera Palestin, sambil ada antara mereka yang memegang sepanduk mengutuk tindakan Israel menguasai timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat.

“Trump tidak memiliki sebidang tanah di Baitulmaqdis dan Palestin. Dia hanya memiliki Menara Trump. Dia boleh menyerahkannya kepada rakyat Israel,” kata Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Amerika Islam (CAIR).

Pada Rabu lalu, Trump mengisytiharkan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan sekali gus mengumumkan pemindahan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Dunia Islam bantah tindakan AS isytihar Baitul Maqdis ibu negara Israel

GLOBAL 9 DIS: Dunia Islam bangkit menentang tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel dan merancang memindahkan kedutaan AS ke bandar itu.

Di Istanbul, beribu-ribu penyokong Palestin berarak selepas solat Jumaat kerana berang dengan keputusan Trump sambil melaungkan slogan termasuk ‘Baitulmuqaddis hak kami dan akan kekal demikian!’ serta ‘Jatuhkan Amerika, Jatuhkan Israel’.

Seorang koresponden agensi berita AFP berkata, penunjuk perasaan berarak selepas solat Jumaat di masjid Ottoman Fatih, pusat bandar Istanbul.

Bantahan serupa turut dirancang di seluruh Turki semalam.

Di Genting Gaza, pergerakan Hamas menggesa penduduk Palestin supaya menguburkan usaha damai Palestin-Israel tajaan Washington dan melancarkan gelombang kebangkitan baharu untuk menentang Israel sebagai tindak balas terhadap pengumuman Trump.

“Kami menggesa untuk melancarkan intifadah (gelombang kebangkitan Palestin) bagi menghadapi Rejim Zionis,” kata pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh ketika berucap di Gaza.

Kumpulan-kumpulan serpihan di wilayah Palestin itu mengisytiharkan semalam sebagai ‘Hari Kemarahan’. Sehari sebelumnya, seramai 31 orang cedera apabila rakyat Palestin bangkit dan bertempur dengan pasukan keselamatan Israel.

Gesaan ‘Hari Kemarahan’ oleh penduduk Palestin turut dibuat oleh ulama Iran, Ayatollah Ahmad Khatami.

“Beliau (Trump) membuktikan bahawa satu-satunya penyelesaian kepada isu Palestin ialah intifadah,” kata Khatami dalam khutbah Jumaat di masjid terbesar Teheran, Mosalla.

Terdahulu, Kementerian Luar Iran mengecam keputusan Trump sebagai ‘provokasi dan tidak bijak.’ Malah, Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata, tindakan Wa­shington salah, tidak sah dan amat berbahaya.

Berpuluh-puluh ribu rakyat Iran mengadakan perhimpunan di seluruh negara itu semalam bagi membantah keputusan Trump, lapor agensi berita Xinhua.

Demonstrasi itu sebagai menyahut gesaan Tentera Pengawal Revolusi Islam Iran supaya bantahan anti-AS-Israel diadakan sebelum solat Jumaat.

Di ibu kota Iran, Teheran, penunjuk perasaan yang marah membanjiri jalan raya sambil membawa sepanduk anti-AS. Mereka turut melaungkan slogan menyokong perjuangan rakyat Pa­lestin.

“Al-Quds (Baitulmuqaddis) milik orang Islam akan kekal di bawah Islam,” kata penunjuk perasaan.

Kemarahan membuak-buak terhadap perisytiharan Trump turut disuarakan oleh beribu-ribu orang di beberapa buah bandar di Tunisia kelmarin.

Demonstrasi kelmarin berlangsung secara aman dengan beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di pusat bandar Tunis.

Mereka membakar dan memijak imej memaparkan bendera AS dan Israel.

Di Indonesia yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia pula, beratus-ratus orang Islam mengadakan demonstrasi mengutuk keputusan Washington ketika pihak berkuasa mengetatkan kawalan keselamatan di luar Kedutaan AS di Jakarta.

Bantahan diadakan ketika pemimpin Indonesia dan Malaysia menyahut suara dunia mengutuk tindakan oleh Trump.

“Kami menempatkan petugas dan kereta peronda untuk mengawal Kedutaan AS. Kami menjangkakan ketibaan antara 500 hingga 1,000 penunjuk perasaan,” kata jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono.

Keputusan Trump itu bukan sahaja dikecam oleh pemimpin-pemimpin dunia Islam, malah bekas Presiden AS, Jimmy Carter sendiri memberi amaran bahawa langkah mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel boleh menjejaskan sebarang harapan untuk keamanan di Asia Barat.

Kota Baitulmuqaddis menempatkan Masjidil Aqsa iaitu masjid ketiga paling suci kepada umat Islam selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Ma­dinah, kedua-duanya di Arab Saudi.

Rejim Zionis menganggap Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel untuk selama-lamanya dan kota itu tidak boleh dibahagi-bahagikan.

Rakyat Palestin pula mahu timur Baitulmuqaddis sebagai ibu kota negara Palestin merdeka yang mereka perjuangkan hingga hari ini.

Israel menawan timur Baitulmuqaddis semasa Perang Asia Barat pada tahun 1967 dalam tindakan yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

SUMBER: Reuters/AFP/Bernama